
Malang tidak berbau. Itu yang boleh digambarkan mengenai kejadian yang menimpa seorang pengantin perempuan di Kabupaten Sragen, Jawa Tengah, apabila dia maut bersama ibu bapanya kerana dijangkiti Covid-19.
Menurut laporan CNN Indonesia, kes tersebut berpunca gara-gara pihak keluarga mangsa mengadakan majlis perkahwinan pada 24 Oktober lalu.
Kejadian tersebut berlaku ketika pengantin perempuan dikenali sebagai L (28), pulang dari Jakarta pada Khamis (22 Oktober), dua hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung di kediamannya.
Setelah selesai majlis, L dan suaminya berangkat ke Wonogiri untuk majlis menyambut menantu pada hari Isnin (26 Oktober).
Tetapi dalam perjalanan, L mengeluh bahawa dia merasa sakit dan dibawa ke Hospital Dr. Moewardi di Solo, dan disahkan positif Covid-19.
Setelah beberapa hari dirawat, L kemudiannya meninggal dunia pada hari Khamis (5 November).
Lebih memilukan, sehari setelah dia meninggal, ibunya (57), disahkan turut dijangkiti dan meninggal dunia keesokkannya (6 November) sebelum disusuli ayahnya (60) pada hari Isnin (9 November).
Kes tersebut dikategorikan sebagai kluster baru berkaitan majlis perkahwinan di mana setakat ini seramai 113 kontak rapat telah dikesan.
“Kluster baru di Sragen berkaitan majlis perkahwinan di mana tiga orang dalam satu keluarga meninggal, dan setelah dikesan, 113 orang menjadi kontak rapat dan sedang menunggu hasil ujian,” kata Ketua Pejabat Kesihatan Kabupaten Sragen, Hargiyanto ketika dihubungi CNN Indonesia.
Sumber: CNN Indonesia
Jom follow kami di Youtube Siakap keli Review