KL City FC Kecam Tindakan Keganasan Terhadap Penyokong, Sedia Bekerjasama Dengan Polis
Kuala Lumpur City Football Club (KL City FC) menyatakan bahawa pihaknya bersedia untuk bekerjasama dalam siasatan insiden perlawanan akhir Piala FA tempoh hari.
Kekecohan melibatkan penyokong dilaporkan telah berlaku pada Sabtu lalu semasa perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Perlawanan akhir itu telah menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Ta’zim dan KL City FC bagi merebut takhta juara dalam liga tersebut.
“Kami mengecam sebarang bentuk keganasan tidak kira sama ada melibatkan penyokong kami mahupun pihak lain.
“Penggunaan kekerasan sama ada di dalam mahupun luar stadium telah membayangi pertembungan sengit di atas padang. Ia tidak seharusnya mendapat tempat di dalam dunia sukan,” tulis kenyataan itu berhubung insiden keganasan tersebut.
Sehubungan dengan kejadian itu, pihak KL City FC berkata bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Siasatan berhubung insiden keganasan tersebut sedang dibuat ekoran satu laporan polis telah dibuat oleh salah seorang penyokong yang telah menjadi mangsa.
Selain itu, KL City FC juga meminta mana-mana pihak yang menjadi saksi atau mempunyai bukti kejadian untuk menghubungi pihak mereka.
“Kami menggesa mana-mana saksi dengan bukti kejadian ini agar menghubungi kami supaya keadilan dapat diperolehi untuk mangsa.
“Kami akan mengadakan perbincangan dengan sebilangan penyokong yang turut menjadi saksi untuk mendapatkan perspektif mereka,” tulis kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, KL City FC juga meminta agar pihak berkuasa dapat menitikberatkan isu berkaitan keselamatan penyokong agar tidak berulang lagi.
“Kami juga menyeru agar pihak-pihak yang berkenaan untuk menitikberatkan hal-hal membabitkan keselamatan serta mempertimbangkan keperluan penambahbaikkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang di masa hadapan,” tambah kenyataan itu.
BACA: Tular Rakaman Ular Sawa Gergasi Ditemui Dalam Tasik Ayer Keroh
KL City FC juga memohon agar pihak berkuasa dapat membuat perkongsian umum mengenai sebarang penemuan atau kemaskini terutamanya berhubung siasatan kejadian insiden tersebut.
“Kami memohon kepada pihak berkuasa untuk membuat perkongsian umum mengenai sebarang penemuan atau kemaskini daripada siasatan mereka,” tegas kenyataan itu.
KL City juga berkata bahawa mereka akan membantu individu-individu yang terkesan dalam kejadian itu agar insiden tersebut tidak akan berulang lagi.
Sumber: Facebook/Kuala Lumpur City