KKR Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut Melalui Pengaktifan BiGBen Dan Pelancaran eBENCANA
KUALA LUMPUR – Sejajar dengan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 5 November ini dan berterusan sehingga Mac 2025, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mempertingkatkan tahap kesiap siagaan dengan pengoperasian Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan aplikasi mudah alih (apps) Sistem eBencana JKR yang telah dinaik taraf.
2. BiGBen berfungsi sebagai pusat sehenti maklumat bencana yang melibatkan aset seliaan JKR Malaysia di sepanjang Jalan Negeri dan Jalan Persekutuan. Maklumat komprehensif tersedia melalui BiGBen untuk dikongsi dengan orang awam berkaitan maklumat bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak/runtuh. Antara manfaat utama adalah maklumat berkenaan penutupan jalan serta informasi laluan alternatif untuk membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan semasa musim tersebut.
3. Apps Sistem eBencana JKR pula merupakan sebuah platform bersepadu yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana (bencana.jkr.gov.my) untuk diakses terus ke telefon bimbit. Pengguna kini boleh muat turun apps ini secara percuma di App Store dan Google Play.
4. BiGBen diterajui oleh Sekretariat Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia yang terdiri daripada warga kerja JKR di Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur dengan kolaborasi JKR Negeri dan JKR Daerah yang berperanan mengemaskini maklumat bencana menerusi Laman Rasmi Pengurusan Bencana. Pengoperasian BiGBen dikategorikan dalam tiga (3) peringkat bergantung kepada situasi semasa bencana iaitu peringkat Sistem Amaran Awal, peringkat Pusat Komunikasi Bersepadu dan peringkat Pusat Tindakan Cepat.
5. Justeru, pengoperasian BiGBen dan Sistem eBencana JKR secara bersepadu ini pasti bermanfaat bukan sahaja untuk kegunaan orang awam, malah berupaya menjadi sumber rujukan kepada semua pihak berkepentingan terutama kepada agensi yang terlibat untuk tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara yang lebih efisien.
6. Bagi pengguna yang perlu menggunakan jalan raya semasa musim Monsun ini, mereka boleh merancang perjalanan yang lebih selamat dan selesa melalui semakan status laluan jalan raya menerusi:
i) Laman Pengurusan Bencana JKR Malaysia (bencana.jkr.gov.my)
ii) Aplikasi eBencana JKR
iii) Facebook BIGBEN – Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia; dan
iv) Akaun X Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (https://x.com/@CSFJ_JKR)
7. Kerajaan Perpaduan melalui aspirasi MYJalan sentiasa memberi fokus yang berterusan kepada kesejahteraan rakyat terutama dalam memastikan keterhubungan, mobiliti dan aksesibiliti melalui infrastruktur jalan raya yang selesa dan selamat.