KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengaudit kematian pesakit COVID-19 di hospital.
KKM menerusi satu tweet berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, Datuk Dr. Christopher Lee dan dibantu oleh pakar-pakar pelbagai bidang disiplin yang berkaitan.
“Setiap butiran pengurusan dan rawatan yang diberikan kepada setiap kes kematian COVID-19 akan diteliti oleh jawatankuasa ini.
“Hasil analisis maklumat ini harap dapat membantu dalam pengurusan pesakit COVID-19 di negara kita,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam tweet tersebut.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia