Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-361 meluluskan pendaftaran bersyarat dua lagi produk vaksin COVID-19 untuk kegunaan semasa bencana.
Kedua-dua produk vaksin tersebut adalah COVILO Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell) atau dikenali sebagai Sinopharm dan Janssen COVID-19 daripada Johnson & Johnson Sdn. Bhd.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
Malah jelasnya, pemantauan itu bertujuan bagi memastikan perbandingan manfaat – risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin itu kekal positif.
” KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumber: Kenyataan Media KKM