Akhir-akhir ini, kes harian COVID-19 yang dilaporkan hari ke hari semakin menunjukkan keadaan yang semakin memulih.
Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), telah banyak kelonggaran diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) rakyat seperti pembukaan semula institusi pendidikan, had masa operasi kedai makan, penambahan had jemaah di surau dan masjid dan banyak lagi.
Malah rentas daerah yang sebelum ini amat ditegah dengan ketat, melainkan kerana sebab yang betul-betul munasabah pun sudah dilonggarkan. Dapat jugalah mana ahli keluarga yang terpisah dalam negeri yang sama untuk bertemu semula.
Bagaimanapun, bilakah pula MKN akan memberikan kebenaran untuk kita merentas negeri? Bukankah kes sudah semakin menurun?
KKM hari ini ‘memperingatkan’ kita semula tentang enam faktor penilaian risiko yang pernah dijelaskan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob satu ketika dahulu. Mari ikuti kenyataan ini.
Gambar: BERNAMABila kami boleh rentas negeri?
“Bergantung kepada penilaian risiko oleh KKM,” jawab Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media baru-baru ini.
Apakah itu penilaian risiko? Secara ringkas penilaian dengan melihat situasi jangkitan semasa dan kebarangkalian penularan jangkitan menjadi lebih teruk atau sebaliknya.
Enam faktor yang menjadi indikator KKM ialah:
Situasi kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang
Trend dan kadar kebolehjangkitan
Situasi semasa iaitu kadar kematian dan jumlah kes kematian
Keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital
Situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti
Ujian saringan yang dijalankan di lapangan, saringan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.
KKM mengkaji semua data dan fakta sebelum menasihat atau mencadangkan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara.
KKM membuat penilaian risiko ini dari semasa ke semasa. Situasi semasa menunjukkan kes baharu dalam trend penurunan walaupun tidak konsisten, namun masih terlaku awal.
Memandangkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan baru saja berjalan, aktiviti kesihatan awam adalah paling berkesan untuk melandaikan keluk jangkitan.
Jika kepatuhan yang tinggi kepada SOP yang ditunjukkan oleh kita semua ketika ini berterusan, tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri akan dirasai tahun ini.
Kita berusaha dan berdoa, kepada Tuhan kita berserah.
*Gambar hiasan – Kemeriahan balik kampung untuk menyambut perayaan terutama Aidilfitri sudah menjadi satu budaya rakyat Malaysia.
Gambar sekadar hiasan | Kredit: KKM
Gambar sekadar hiasan | Kredit: KKMSumber: KKM