Satu demi satu kejayaan dicapai negara dalam mengharungi wabak pandemik COVID-19.
Selepas negara mencatatkan penurunan kes mengikut unjuran yang dijangkakan, kini Kementerian Kesihatan (KKM) terpilih merangkul anugerah atas usaha dan tanggungjawab kesihatan negara tersebut.
Hari ini, ketua pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkongsi kejayaan KKM yang menerima anugerah pengiktirafan daripada pihak antarabangsa.

Kepada semua pertugas barisan hadapan dan mereka yang berkhidmat di belakang tabir, saya dengan rendah hati mahu menzahirkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada The World Brands Foundation atas pengiktirafan yang diberikan ke atas Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai pemenang Anugerah The BrandLaureate – ‘Sijil Pengiktirafan & Penghargaan’.
Saya juga dengan rendah hati menerima Anugerah BrandLaureate untuk ‘Anugerah BrandLaureate Cemerlang 2020’.
Kedua-dua anugerah ini adalah hasil daripada dedikasi, komitmen, pengorbanan dan ketahanan semua warga KKM dan beberapa agensi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat dan negara.
Kita menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan semasa pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya. Walaupun begitu, kita berjaya mengatasinya bersama-sama.
Belum pernah lagi kita lihat sebelum ini seluruh jentera kerajaan dan masyarakat bekerja dengan lancar demi kesihatan awam, sehingga menjadikan slogan ‘Setiap Sektor Adalah Sektor Kesihatan’ menjadi kenyataan dan kini dicontohi oleh pihak lain.
Terima kasih kepada rakyat semua atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada petugas barisan hadapan dan kerajaan sepanjang waktu mencabar ini.
Marilah kita terus memastikan negara tercinta kita ini menang dalam perang melawan musuh yang tidak nampak ini.
Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita, kita jaga negara kita.







Sumber: Datuk. Dr. Noor Hisham Abdullah