
KKM Batal Notifikasi Tiga Produk Kosmetik, Dikesan Mengandungi Racun Berjadual
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKMM menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan tiga produk kosmetik dikesan mengandungi racun jadual.
Pemakluman berkenaan dibuat menerusi satu kenyataan media yang diterbitkan di laman media sosial kementerian berkenaan, hari ini.
Menurut KKM, produk berkenaan adalah Toner Treatment EWSB yang dikesan mengandungi racun berjadual Hydroquinone dan Tretinoin.
Manakala N Glow EWSB pula dikesan mengandungi racun berjadual Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17- Valeratedan.
Satu lagi produk, Glory Cosmetics Facecream dikesan mengandungi racun berjadual Merkuri.
KKM berkata, notifikasi ketiga-tiga produk tersebut telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk komestik tersebut dengan serta-merta
“Penjualan dan pengedaran produk komestik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Komestik 1984,” ujar KKM.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25, 000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
Lanjutan daripada itu, denda tidak melebihi RM50, 000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikut.
Manakala syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100, 000 untuk kesalahan berikutnya.
Menurut KKM, orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya.
Selain itu, dapatkan nasihatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Orang awam juga turut digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk komestik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.
Perihal bahan racun berjadual
Jelas KKM lagi, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Hal ini boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Sementara itu, produk yang mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17- Valerate merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Ia hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Justeru, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.
BACA: Ekuinoks Mac: Seluruh Dunia Alami Masa Siang & Malam Sama Panjang Esok


Sumber: Laman X KKMalaysia