kkdw terima rm871.24 juta sarawak tahun ini
Sumber : BERNAMA
Tiada Kategori

KKDW Terima RM871.24 Juta Bagi Sarawak Pada Tahun Ini

Nurul Naqiyah

KKDW Terima RM871.24 Juta Bagi Sarawak Pada Tahun Ini

SARIKEI, 19 Mei (Bernama)Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menerima sejumlah peruntukan yang besar saban tahun bagi pembangunan luar bandar di Sarawak dan peruntukan ini terus mengalami peningkatan semenjak tahun 2021.

Pada Tahun 2024, KKDW telah menerima peruntukan berjumlah RM871.24 juta bagi Sarawak iaitu peningkatan sebanyak RM16.14 juta (1.85%) berbanding tahun 2023 dan merupakan peruntukan kedua yang tertinggi selepas Sabah.

Peruntukan ini melibatkan 287 program/projek yang terdiri daripada 70 program/projek baru dan 217 program/projek sambungan dengan kos keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) berjumlah RM15.01 bilion.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, sudah pasti saya akan terus memainkan peranan di dalam pembangunan kawasan luar bandar di Sarawak ini untuk membantu kerajaan negeri, bagi memastikan terutamanya infrastruktur di kawasan luar bandar dapat dipertimbangkan,” katanya. Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika majlis sambutan Pra-Gawai Sarikei 2024 di sini hari ini.

Antara yang menjadi fokus ialah pembinaan jambatan, penyediaan bekalan elektrik dan air bersih dan perkhidmatan telekomunikasi. Beliau berkata oleh kerana telekomunikasi di negara ini telah dinaikkan kepada 5G, ia tidak hanya akan disediakan di tempat-tempat yang mempunyai penduduk yang ramai.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat prihatin dan mahu supaya kawasan pedalaman di Sarawak dan Sabah, harus diberikan keadilan untuk mendapat liputan 5G supaya kita dapat berhubung dengan dunia luar.

“Ini penting terutamanya untuk anak sekolah sama ada mereka berada di sekolah rendah ataupun di sekolah menengah, mahupun yang berada di peringkat pengajian tinggi, dan ini harus dilakukan dalam waktu yang terdekat,” katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa Kementerian Digital akan melaksanakannya dengan segera.

Untuk sambutan Hari Gawai tahun ini, beliau mendoakan supaya lebih banyak pembangunan dapat dibawa di Sarawak agar rakyatnya lebih makmur. Bagaimanapun beliau berkata bagi mencapai harapan itu, kestabilan politik, perpaduan dan keharmonian di antara kaum, harus terus dipelihara.

–BERNAMA