Gambar Ismail Amsyar

KJ Lawat Pusat Penyelidikan Ganja Di Thailand, Tegaskan Ganja Untuk Rekreasi Tidak Akan Dibenarkan Di Malaysia

Syed Faisal Sayed Muhammad

KJ Lawat Pusat Penyelidikan Ganja Di Thailand, Tegaskan Ganja Untuk Rekreasi Tidak Akan Dibenarkan Di Malaysia

Bangkok, 24 Ogos (Bernama)- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi di Malaysia.

Khairy berada di sini dalam lawatan kerja empat hari untuk mengkaji amalan kaedah penanaman, penyelidikan, dan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan di Thailand.

“Saya berada di sini di Bangkok untuk memahami bukti klinikal dan rangka kerja kawal selia. Jika bukti klinikal yang dikumpul menunjukkan bahawa ganja selamat dan mujarab untuk kegunaan perubatan, kami akan merangka kerja garis panduan amalan dan klinikal pengawalseliaan yang teguh.

“Yang pastinya, penggunaan rekreasi tidak akan dipertimbangkan,” katanya menerusi Instagramnya.

Hantaran itu menunjukkan gambar Khairy dan Menteri Kesihatan Awam Thailand Anutin Charnvirakul di salah sebuah pusat penyelidikan ganja.

“Bersama rakan saya, Timbalan Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul menunjukkan produk VBD perubatan Thailand. Mereka telah membenarkan ganja untuk kegunaan perubatan,” kata Khairy.

Awal hari ini, Menteri Kesihatan melawat Siam Cannabis Land di Pattaya dimana beliau diberi taklimat dan berpeluang melawat dalaman rumah hijau dan luaran serta tapak udara terbuka yang menanam pelbagai jenis ganja.

Projek bandar ganja seluas 350 ekar memberi tumpuan kepada pembangunan produk kesihatan dan perkhidmatan perubatan yang komprehensif.

Pada 9 Jun lalu, Thailand menjadi negara Asia Tenggara yang pertama memberi kebenaran dalam penanaman dan pemilikan ganja perubatan.

Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Thailand mengeluarkan ganja dengan ekstrak yang mengandungi tidak lebih daripada 0.2 peratus berat tetrahydrocannabinol (THC) daripada senarai narkotik yang diharamkan.

Walau bagaimanapun, pemilikan kandungan yang diekstrak seperti minyak dan hidangan makanan yang mengandungi lebih daripada 0.2 peratus THC masih lagi haram di Thailand. THC adalag sebatian psikoaktif utama yang terdapat dalam ganja.

Sumber: BERNAMA