Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi akan melaksanakan total lockdown di negara ini.
Menurutnya, kerajaan juga memberi jaminan tidak akan menutup mana-mana sektor ekonomi terutama industri kecil dan sederhana (IKS), walaupun kes COVID-19 menunjukkan peningkatan mendadak, lapor Astro Awani.
Langkah itu juga adalah dengan mengambil kira kesan negatif terhadap ekonomi dan kadar pengangguran yang berlaku rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.
“Ya, kerajaan umum takkan PKP kerana kesan kepada ekonomi dan pengangguran.
“Sebagai contoh pada awal 2020 ketika kita laksana total lockdown, kadar pengangguran negara meningkat kepada 5.3 peratus sehingga 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan.
“Kita tak boleh mengenakan total lockdown sekali lagi. Apa yang kita buat berdasarkan data dan sains, kita lebih bersasar.
“Sekiranya ada kenaikan, kita lebih menggunakan data dan sains untuk langkah kawalan,” kata Mohamed Azmin.
Memetik laporan Astro Awani, Azmin juga berkata MITI akan turut memastikan kumpulan peniaga tidak akan berdepan impak ekonomi sehingga memaksa beberapa sektor perniagaan terpaksa gulung tikar, selari dengan keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan total lockdown.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam Tahun Baharu Cina bersama pemain industri IKS di kawasan Tangkak, Pagoh, Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak pada Ahad malam.
Sumber: Astro Awani