“Kita Sama-Sama Tolong Setakat Yang Termampu,” Pemuda Ini Sanggup Turun Padang Sendiri Hantar Bantuan Pada Yang Terkesan

Aqmal Ezany

Umum telah mengetahui bahawa negara kita kini sedang teruk dibadai dengan wabak pandemik COVID-19. Disebabkan itu, ramai orang yang kalau dahulunya hidup bersederhana, kini hidup susah tak cukup makan, manakala orang susah pula lagi bertambah susah.

Ekoran daripada itu, dapat dilihat bahawa ramai orang berhati murni kini mula tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada orang ramai yang terkesan dan memerlukan bantuan.

Seperti Mu’izz Nasruddin ini, status ahli politik dan ahli perniagaan selain aktivis kebajikan yang selalu membantu golongan susah ini telah membuatkannya diangkat sebagai duta badan bukan kerajaan (NGO) yang bernama We Listen My.

Semasa awal-awal dunia dilanda pandemik tahun lalu, dia bersama NGO terbabit telah tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan wabak pandemik ini terutamanya dari aspek ekonomi.

“We Listen Malaysia cuba membantu golongan B40 & M40 yang terjejas teruk hingga hilang punca pendapatan

“Malah baru baru ini masyarakat prihatin juga tampil dengan solidariti serta kempen mengibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan dan dalam serba serbi tekanan menyentuh hati saya.

“Ia jadi lambang kekuatan rakyat. Kita sama sama tolong setakat yang termampu. Bahkan misi dan visi kami di We Listen My juga berpaksikan usaha sama untuk membantu mereka yang benar benar tertampar di saat getir ini,” katanya.

Lebih merisaukan jejaka itu lagi ialah masalah kesihatan mental yang banyak terjadi sejak kebelakangan ini yang membuatkan seseorang itu mengambil langkah pintas untuk keluar daripada masalah seperti bunuh diri.

“Soal kesihatan mental bukan perkara mainan. Kita tidak tahu sejauh mana tekanan dan pergelutan hidup mampu membuatkan manusia melakukan pelbagai perkara mengejutkan saat buntu akal fikiran dan diuji.

“Jadi sama samalah kita memainkan peranan untuk membantu mereka yang berada di sekeliling kita. Kecil atau besar bantuan itu bukan ukuran. Namun ia tetap memberi makna tersendiri kepada yang menerimanya.

“Benar tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Jadi saya menyeru sama samalah kita menyalurkan bantuan apa adanya. Tak semestinya dengan wang ringgit, tenaga dan idea serta masa juga amat bermakna dalam paksi membantu,” katanya.

Sementara itu, tergerak dengan rasa kasihan dan tanggungjawab bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, Puan Hamira Izzatie Sabarin selaku pengasas bersama NGO itu mula menggerakkan kumpulan tersebut secara kecil-kecilan untuk mengumpul dana dan menyalurkan bantuan.

Bermula dengan hanya dari laman Twitter, kini sejak Januari lalu badan NGO yang diasaskannya itu telah menjadi badan NGO rasmi sejak dari Januari lalu selepas ianya berjaya didaftar di bawah Jabatan pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Idea penubuhan WeListenMY ini timbul selepas melihat sendiri bagaimana masyarakat tersepit dengan permintaan hidup yang begitu tinggi. Sehinggakan menyebabkan ada di kalangan mereka yang langsung tidak memiliki bekalan makanan yang cukup untuk menyara keluarga dan meneruskan hidup,” kata Hamira

Beliau cuba membantu membekalkan barangan keperluan asas seperti beras, telur, minyak masak dan sebagainya kepada keluarga yang terjejas dengan menggunakan modalnya sendiri pada awal-awal dia menggerakkan badan NGO tersebut.

“Kini, pihak WeListenMY menggunakan satu platform ‘payment gateway’ bagi mengumpul dana melalui ‘crowdfunding’ di mana orang ramai boleh menderma sebelum dana tersebut digunakan untuk mendapatkan bekalan.

“Ia seterusnya disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Sepanjang platform tersebut diperkenalkan, pihak kami sudah berjaya mengumpul dana sebanyak RM80,000 bagi tujuan bantuan melalui kempen yang dijalankan,” katanya.

Kempen yang dilancarkan oleh WeListenMy bermula dengan kempen #1Rumah1Ratus pada akhir tahun lalu sehinggalah yang terbaru iaitu kempen #WeListenPack yang menyasarkan golongan B40 dan M40 sebagai penerima bantuan.

“Setakat 27 Jun lalu, pihak kami melalui kempen #WeListenPack berjaya menghulurkan bantuan kepada 930 buah keluarga di seluruh Malaysia. Terima kasih juga diucapkan kepada lebih 100 orang sukarelawan WeListenMY yang membantu dalam urusan penghantaran bantuan tersebut.

“Pihak kami akan terus komited dalam usaha untuk membantu masyarakat yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan juga pasca pandemik COVID-19 nanti bagi memastikan setiap keluarga di Malaysia punya bekalan makanan yang mencukupi dalam menempuhi hari mendatang.

“Dengan pelantikan duta baharu kami (Mu’izz Nasruddin) yang merupakan seorang ‘pengaruh media sosial’ atau ‘influencer’, WeListenMY juga berharap akan ada lebih banyak pihak baik daripada sektor kerajaan mahupun sektor swasta untuk tampil ke hadapan bagi membantu usaha murni ini,” kata Hamira.

WeListenMY juga turut menggalakkan orang ramai yang ingin menjadi sukarelawan dan mencurahkan idea dan menyumbang tenaga untuk menjayakan setiap kempen yang dijalankan dengan hanya menghubungi pihaknya atau boleh berkunjung ke laman media sosial untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Bagi mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi pihak kami melalui emel [email protected] atau di laman Twitter di @welistenMY mahupun laman Instagram @WeListenMY.

“Bersamalah kita bantu-membantu antara satu sama lain demi menjaga kebajikan rakyat kerana #KitaJagaKita dan #KitaBantuKita,” katanya