Barisan hadapan negara dalam memerangi wabak Covid-19 diminta untuk terus tabah dalam menjalankan tugas sepanjang bulan Ramadan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengorbanan ‘frontliners’ yang berpuasa sewaktu bertugas akan diberikan ganjaran pahala yang setimpalnya oleh Allah.
”Kepada frontliners yang akan berpuasa dalam keadaan menjalankan tugas, saya harap anda terus tabah. InsyaAllah, pengorbanan anda semua akan diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t,” kata beliau.
Oleh itu, sempena kedatangan bulan Ramadan ini, beliau menyeru seluruh rakyat berganding bahu bersama kerajaan untuk meningkatkan jihad dan istiqamah dalam memerangi COVID 19.
Ujar Muhyiddin, walaupun kita masih belum menang dalam perang menentang COVID 19, tetapi beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada kita.
”Mudah-mudahan bulan Ramadan yang mulia ini akan membawa rahmat kepada kita semua.
Banyakkan berdoa kepada Allah, mohon pertolongan daripada-Nya, insyaAllah kita semua akan dilindungi daripada sebarang musibah, amin ya rabbal alamin,” kata beliau.
Hari ini, kerajaan mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan lagi ke fasa keempat selama dua minggu bermula 29 April sehingga 12 Mei 2020.
Pada masa yang sama, kerajaan juga memberi dua kelonggaran iaitu membenarkan hampir 100 ribu pelajar yang terkandas di universiti, pulang ke kampung halaman masing-masing dalam masa terdekat.
Kedua, bagi mereka yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing, kerajaan sedang menimbang untuk memberikan kebenaran satu kali perjalanan bagi tujuan ini.
Kebenaran ini hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama.
Sumber: Perutusan Khas Perdana Menteri