Tiada Kategori

Kisah Abu Si Raksasa, Filem Kaiju Pertama Malaysia

Syamimi

Kisah Abu Si Raksasa, Filem Kaiju Pertama Malaysia

Setakat ini, tidak banyak filem-filem yang bercorak sains fiksyen dihasilkan dalam industri perfileman tempatan berbanding genre lain seperti seram, aksi dan komedi. Namun begitu, syarikat produksi M Toons Media Sdn. Bhd. mengambil pendekatan dengan menghasilkan sebuah filem sains fiksyen berjudul Abu Si Raksasa.

Penerbitnya, Zamin Fakry berkata, filem berkenaan mengangkat kisah mengenai seekor cicak salamander yang berubah bentuk kepada saiz gergasi akibat daripada pencemaran. “Idea menghasilkan filem ini tercetus ketika perbicangan bersama dengan seorang Profesor Dr Hezri Adnan yang merupakan ahli akademik alam sekitar.

“Kemudian, ia memberi ilham kepada kami untuk menghasilkan sebuah naskhah sains fiksyen yang berkaitan dengan isu alam sekitar menerusi filem ini,” ujarnya. Abu Si Raksasa berkisar tentang seekor cicak salamander belaan Zaara diberi nama Abu yang bermutasi disebabkan pencemaran bahan kimia daripada pencuci jamban berjenama ROXCCID di sebuah empangan.

abu si raksasa

Kemudian Zaara dan rakannya iatu Sofiyan dan Zidan bergabung tenaga demi menyelamatkan Abu dari serangan pihak berkuasa yang diketuai Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad. Menurut Zamin, apa yang menariknya tentang filem berkenaan adalah ia merupakan filem ‘Kaiju’ (raksasa) pertama yang dihasilkan di Malaysia. “Sebelum ini sudah banyak genre seperti seram, aksi dan komedi yang dipaparkan. Jadi, kami cuba untuk menampilkan kelainan menerusi filem Abu Si Raksasa.

“Jalan ceritanya juga telah diolah mengikut kesesuian masyarakat di negara ini dan ia merupakan sebuah filem yang cukup menarik untuk ditonton,” jelasnya.

Diarahkan oleh Ramdan Che Hassan, filem berkenaan menampilkan barisan pelakon popular seperti Sophia Al-Barakbah, Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida.

Ujar Zamin, untuk merealisasikan penerbitan filem Abu Si Raksasa, pihaknya telah membelanjakan kira-kira RM2 juta dan ia termasuk kos CGI dan VFX. “Boleh dikatakan ia adalah bajet yang agak terhad, namun produksi telah cuba buat sebaik mungkin dan kami berterima kasih kerana mendapat dana daripada pihak Kementerian Komunikasi dan Finas bagi menjayakan pembikinan filem ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ramdan selaku pengarah yang juga penulis skrip berkata, cicak salamander dipilih sebagai tunjang penceritaan kerana ia memiliki sifat yang unik.

“Ia adalah jenis bintang amfibia (dua alam) dan terdapat laporan yang menyatakan ia mampu membesar dengan saiz yang cukup besar. “Selain itu, cicak salamander bukanlah sejenis haiwan ganas dan ia sesuai untuk dibela. Jadi, ia bersesuaian dengan penceritaan dalam filem ini,” ujarnya.

Jelasnya, filem berkenaan menjalani penggambaran pada September 2023 di sekitar Lembah Klang, termasuk Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya. Dalam pada itu, Ramdan juga mengakui menghasilkan filem Abu Si Raksasa ini turut memberikan cabaran tersendiri buat dirinya.

“Paling utama adalah kami perlu membuat kajian yang cukup mendalam sebelum penggambaran bermula. “Imaginasi yang mantap juga memainkan peranan yang cukup penting, apatah lagi ia membabitkan kira-kira 40 peratus CGI,” ujarnya. Filem Abu Si Raksasa bakal menemui penonton dan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 11 September 2025.