KUALA LUMPUR – Kira-kira 2 juta penerima vaksin Sinovac berisiko kehilangan status vaksinasi lengkap jika mereka tidak menerima dos penggalak menjelang 1 April.
Justeru, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin menggesa mereka yang masih belum mengambil dos penggalak agar berbuat demikian bagi mengelakkan mereka kehilangan status vaksin sepenuhnya.
Jelasnya lagi dalam Sidang Media KKM sebentar tadi, penerima vaksin Sinovac yang belum menerima dos penggalak juga tidak akan dianggap sebagai penerima vaksinasi lengkap apabila memasuki Singapura kelak.
“Berdasarkan perbincangan saya dengan Menteri Kesihatan Singapura, bagi penerima vaksin primer Sinovac, Singapura hanya menganggap mereka yang sudah menerima 3 suntikan sebagai penerima vaksinasi lengkap.
“Jika anda ingin menikmati percutian ke Singapura dan tidak mahu menjalani kuarantin, jadi anda tahu apa yang perlu anda lakukan,” katanya lagi.
Menerusi ciapan di laman Twitter, KKM telah mengemas kini beberapa jenis vaksin yang perlu penerima vaksin melengkapkan dos dan dos penggalak jika tidak berbuat demikian, status vaksinasi akan bertukar pada 1 April ini.
BACA: Hanya Dua Pintu Sempadan Darat Malaysia-Thailand Akan Dibuka Bermula 1 April Ini
Terdahulu, beliau turut mengumumkan bahawa hanya dua pintu sempadan darat Malaysia-Thailand sahaja akan dibuka 1 April ini.
Dua pintu sempadan darat tersebut adalah pintu masuk Bukit Kayu Hitam- Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan.
Katanya lagi, kerajaan Thailand hanya bersedia untuk menerima pengembara dan pelancong sahaja. Manakala bagi pengembara harian dan kerap perbincangan masih dijalankan antara Malaysia dan Thailand.
Berkenaan pembukaan pintu sempadan negara dengan Brunei dan Indonesia pula, Malaysia ketika ini masih menunggu maklum balas daripada kedua-dua negara jiran itu.
Ini kerana, pembukaan pintu sempadan negara memerlukan persetujuan bersama antara Malaysia dengan dua negara tersebut.
Sumber: KKM