Kilang Roti Disyaki Salah Guna Logo Halal Diserbu Dalam Operasi Bersepadu KPDN-JAKIM
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu sebuah kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal pada 10 Januari 2025.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bermula kira-kira jam 1.00 tengah hari itu adalah hasil aduan yang telah diterima oleh pihak JAKIM dan tular melalui aplikasi TikTok berkaitan penggunaan perakuan logo halal yang meragukan pada produk roti sandwic yang dijual di beberapa premis pasar raya terkemuka sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Hasil maklumat awal, premis merupakan sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk roti sandwic serta menggunakan penandaan logo halal JAKIM yang disyaki tamat tempoh.
Pemeriksaan lanjut mendapati, premis terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak JAKIM dan logo halal yang dilekatkan pada produk roti sandwic tersebut ialah logo halal yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi dan telah menjual perniagaannya kepada syarikat yang diserbu. Sijil pengesahan halal tersebut juga disahkan telah tamat tempoh pada 15 Oktober 2023. Hasil serbuan, pihak KPDN telah menyita pelbagai jenis roti sandwic, sebuah komputer, mesin pencetak dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan.
Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Jika disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda seperti berikut:
Syarikat: Didenda tidak melebihi RM200,000.00, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM500,000.00;
Individu: Didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM250,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.

KPDN ingin memberikan amaran kepada semua pihak yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuatkuasa serta memastikan kesemua produk dan perkhidmatan yang dihasilkan memenuhi standard halal yang telah ditetapkan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan di bawah perundangan berkaitan. Kesalahan seumpama ini amat serius serta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna terutama yang beragama Islam.
Selain daripada tindakan di bawah pensijilan halal, KPDN juga akan menghantar sampel sandwic tersebut ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan pengesahan tentang kandungan sebenar yang digunakan dalam penghasilan sandwich tersebut.
Berkaitan isu penutupan premis-premis di sebuah universiti awam, ia adalah tindakan yang diambil oleh sendiri pihak berkenaan dan tidak melibatkan arahan daripada KPDN.
Pengguna juga disarankan untuk tidak mudah terpedaya serta lebih berhati hati dalam memilih produk yang mempunyai sijil halal yang sah. Pastikan sijil halal tersebut adalah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa berwibawa. Maklumat dan aduan berkaitan halal boleh disemak di Portal Halal Malaysia melalui laman sesawang www.halal.gov.my.
Selain itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu halal juga boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak KPDN melalui saluran berikut:
1. WhatsApp 019-848 8000;
2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
3. Call Centre 1-800-886-800; dan
4. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.