
Sebuah syarikat pengeluar tirai di UK menawarkan kerja menarik khusus buat pekerja-pekerja yang bekerja pada shif malam iaitu tidur pada siang hari dengan bayaran gaji berjumlah RM2,878.
Syarikat tersebut, 247 Blinds mencari golongan ‘penidur profesional’ untuk menguji keberkesanan produk tirai gelapnya, bertujuan bagi memahami corak tidur serta gangguan yang dialami ketika mereka tidur pada siang hari.
Pengarahnya, Jason Peterkin berkata, idea ini tercetus apabila dia melihat kadar orang yang memilih untuk bekerja pada waktu malam kian meningkat sejak 10 tahun kebelakangan ini.
“Walaupun kami gembira untuk terus menghasil dan menjual produk tirai gelap kami, kami berasa agak penting untuk memahami lebih banyak lagi ragam tidur seseorang pada siang hari.
“Dengan menjalankan kajian penting ini, kami dapat gunakan senario dan data kehidupan sebenar untuk membolehkan kami mengembangkan lagi produk yang lebih berkesan.
“(Dan) sambil berkongsi dapatan kajian kami untuk membantu masyarakat di England mengatasi masalah tidur pada waktu siang,” katanya, memetik laporan Metro.
Difahamkan, mereka yang mencuba tawaran kajian ‘unik’ ini masing-masing akan dibekalkan dengan kelengkapan alat bantu tidur bagi menjamin kualiti tidur yang sempurna.
Selain itu, mereka juga akan turut dinilai mengenai rutin kebiasaan seperti suhu ketika tidur, sumber pencahayaan, bunyi di sekeliling dan diet pemakanan.
Sumber: Metro