Tahukah anda jika ketumbuhan dalam hidung itu sejenis kanser atau tidak? Mungkin ada beberapa orang yang tidak tahu dan hanya mengaggap ketumbuhan di dalam hidung itu hanya perkara biasa.
Namun begitu, ada beberapa tanda kanser pangkal hidung yang anda boleh lihat sebagai langkah untuk berjaga-jaga. Oleh itu, Hello Doktort telah berkongsikan beberapa simptom kanser ini yang perlu di perhatikan:
Ketumbuhan dalam hidung: Apakah itu kanser pangkal hidung?
Kanser pangkal hidung juga dikenali dengan nama kanser nasofarinks.
Ini kerana ia berlaku pada bahagian nasofarinks yang terletak di belakang hidung dan di atas tekak anda.
Kanser ini agak jarang berlaku di negara-negara barat, namun ia kerap berlaku di negara yang lain terutamanya di Asia Tenggara.
Berdasarkan Daftar Kanser Kebangsaan 2003 – 2005, kanser pangkal hidung ini merupakan salah satu daripada 10 kanser yang paling banyak berlaku di Malaysia.
Pada peringkat awal, ketumbuhan dalam hidung ini agak sukar untuk dikesan memandangkan lokasi nasofarinks itu sendiri yang agak sukar untuk diperiksa.
Selain itu, simptom-simptom yang ditunjukkan oleh kanser ini juga menyamai simptom-simptom keadaan kesihatan biasa yang lain.
Ini simptom-simptom kanser pangkal hidung yang anda perlu perhatikan

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, agak sukar untuk mengenal pasti ketumbuhan dalam hidung ini memandangkan simptom yang ditunjukkan agak sama dengan keadaan lain yang kurang serius.
Tambahan pula, ramai daripada penghidapnya tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah kanser tersebut berada pada tahap yang serius.
Namun, untuk pengetahuan anda, berikut merupakan antara simptom atau tanda berlakunya kanser pangkal hidung:
Muncul benjolan atau ketulan pada leher yang tidak sembuh selepas tiga minggu
Hidung tersumbat dan biasanya ia berlaku pada sebelah lubang hidung sahaja
Kehilangan pendengaran yang berlaku pada sebelah telinga sahaja
Mendengar bunyi yang datang daripada dalam tubuh, berbanding luar tubuh seperti kebiasaan
Hidung mengalami pendarahan
Sakit kepala
Mata menjadi kabur
Berasa kebas pada bahagian bawah wajah anda
Mengalami penurunan berat badan tanpa sebab khusus
Sukar untuk menelan
Mengalami suara yang serak
Sekiranya anda mengalami simptom-simptom ini dan ia tidak sembuh selepas tiga minggu, berjumpalah dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan.
Punca ketumbuhan dalam hidung
Punca sebenar yang menyebabkan kanser pangkal hidung ini tidaklah diketahui dengan jelas.
Namun, terdapat beberapa perkara yang boleh meningkatkan risiko seseorang individu tersebut untuk mendapat kanser ini.
Antaranya ialah:
Kerap makan jenis makanan yang tinggi dengan kandungan garam seperti jeruk atau ikan atau daging yang diawet
Berketurunan Cina, Asia Tenggara atau bahagian utara Afrika
Lelaki lebih berisiko untuk mendapat kanser ini berbanding wanita
Dijangkiti dengan virus Epstein-Barr yang sering menyebabkan demam kelenjar
Berada dalam persekitaran pekerjaan yang berdebu atau mempunyai bahan kimia formaldehid
Mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami kanser ini
Pengambilan tembakau atau alkohol yang keterlaluan juga boleh meningkatkan risiko menghidap kanser pangkal hidung
Diagnosis kanser pangkal hidung
Terdapat beberapa prosedur yang boleh dilakukan untuk mengesan kanser ini. Antaranya ialah:
Pemeriksaan fizikal. Doktor biasanya akan melakukan pemeriksaan fizikal terlebih dahulu dan bertanyakan simptom-simptom yang anda alami. Doktor mungkin akan melihat dan menekan leher anda untuk memeriksa sebarang ketulan yang terbentuk.
Pemeriksaan menggunakan kamera. Jika doktor mengesyaki anda mengalami kanser ini, pemeriksaan menggunakan kamera akan dilakukan untuk memastikan keadaan tersebut. Sejenis tiub kecil dan mudah lentur berkamera akan dimasukkan sama ada melalui lubang hidung atau tekak anda.
Ujian biopsi. Doktor juga mungkin akan mengambil sedikit sampel tisu dalam nasofarinks anda untuk diuji bagi menentukan keadaan kanser yang dialami.
Setelah itu, jika anda disahkan mengalami ketumbuhan dalam hidung, doktor akan melakukan ujian lanjutan seperti ujian MRI, CT atau sinar X-ray untuk menentukan tahap kanser anda.
Rawatan ketumbuhan dalam hidung

Berdasarkan kepada beberapa faktor tertentu, doktor akan menentukan kaedah rawatan terbaik untuk kanser yang anda alami. Antara rawatan yang mungkin anda jalani ialah:
Terapi radiasi
Semasa prosedur ini dijalankan, anda akan dibaringkan di atas meja dan sebuah mesin besar digerakkan di sekeliling anda.
Sinaran daripada mesin ini akan dihalakan ke tempat yang tepat di mana ia boleh mensasarkan kanser anda.
Untuk tumor nasofarinks yang bersaiz kecil, terapi radiasi mungkin satu-satunya rawatan yang diperlukan.
Dalam situasi yang lain, rawatan ini juga boleh digabungkan dengan rawatan kemoterapi.
Terapi radiasi mungkin akan memberikan sedikit risiko kesan sampingan. Ini termasuklah kemerahan pada kulit yang bersifat sementara, kehilangan pendengaran dan juga kekeringan mulut.
Kemoterapi
Kemoterapi ialah rawatan ubat yang menggunakan bahan kimia untuk membunuh sel kanser.
Ubat kemoterapi boleh diberikan dalam bentuk pil, diberikan melalui saluran darah atau kedua-duanya.
Kemoterapi boleh digunakan untuk merawat kanser ini melalui tiga cara:
Kemoterapi yang dijalankan bersama-sama terapi radiasi
Kemoterapi selepas rawatan terapi radiasi
Kemoterapi sebelum rawatan terapi radiasi
Pembedahan
Pembedahan merupakan kaedah rawatan kanser pangkal hidung yang agak jarang dilakukan.
Jika ia dilakukan, ia bertujuan untuk membuang nodus limfa kanser pada leher anda.
Ia juga mungkin dilakukan untuk membuang kanser itu sendiri daripada nasofarinks.