Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.
Menurutnya, perkara itu dibuat sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat.
Perkara tersebut difahamkan adalah merupakan sebahagian daripada 7 cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya kepada Perdana Menteri berjaya diluluskan secara bi-partisan di Dewan Rakyat dengan majoriti melebihi 2/3 ahli Parlimen.
Antara cadangan-cadangan lain yang dinyatakan dalam sidang media sebentar tadi adalah semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.
“Atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.
“Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki,” ujarnya.
Selain daripada itu, kerajaan juga akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion.
Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis COVID-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
“Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan “Whole of Nation”, katanya.
Sementara itu, kerajaan juga akan menyalurkan RM10 bilion kepada 11 juta penerima dalam separuh tahun 2021.
“Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada tahun 2022, bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan,” nyatanya.
Kerajaan juga bersetuju untuk meminda Rang Undang-Undang yang melibatkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti sekiranya mendapat sokongan melebihi majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Sekiranya Kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah bagi memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan.
“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang.
“Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, Kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” ujarnya.
Dalam pada itu juga, undi 18 juga turut akan dilaksanakan tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.
Tambahnya lagi, rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan juga akan dibentangkan di Parlimen dan akan dirunding terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen.
“Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen,” katanya.
Sumber: Bernama TV