KOTA KINABALU, 28 Feb (Bernama) — Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor telah mengarahkan polis meningkatkan pengawasan keselamatan negeri, menjelang ketibaan pilihan raya presiden di negara jiran, Filipina.
Katanya beliau mahukan supaya polis memantau keadaan dengan lebih rapi, memandangkan isu mengenai tuntutan ke atas Sabah sering menjadi topik hangat yang disentuh oleh calon-calon presiden negara itu menjelang ketibaan pilihan raya, bagi meraih sokongan pengundi.
“Bahang pilihan raya Filipina yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei ini, perlu dipantau rapi oleh polis, terutama dari Cawangan Khas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu beliau melawat ibu pejabat kontinjen polis Sabah di Kepayan di sini, dan turut mengiringinya ialah Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Sarul Bahiyah Abu serta Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah.
Hajiji berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan tahap keselamatan negeri.
“Berdasarkan taklimat Datuk Idris Abdullah dan pegawai-pegawainya, saya gembira mendengar bahawa keselamatan kita berada di tahap terbaik dengan kecekapan pasukan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya.
Sumber: Bernama