Seorang ketua kampung di Desa Talunombo, Sampuran, wilayah Wonosobo, Jawa Tengah, Indonesia menjadi tular selepas dia bertindak mendermakan gajinya selama sebulan dan mewakafkan tanah miliknya untuk pengebumian mangsa Covid-19.
Badarudin, ketua kampung Desa Talunombo, telah menjadi tular setelah sebuah video berkenaan kenyataannya itu dimuat naik di media sosial.
Dalam video tersebut, Badarudin telah menyatakan keprihatinannya berkenaan wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia kini.
Seperti yang diketahui, kerajaan Indonesia telah melaksanakan pelbagai langkah bagi membendung penularan wabak Covid-19 ini.
Badarudin dalam video tersebut telah menggesa kepada semua pihak agar mendermakan gaji mereka kepada negara bagi meringankan beban yang sedang ditanggung negaranya ketika ini.
Menurutnya, dia memuat naik video kenyataannya itu di media sosial untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
Gaji yang disumbangkan itu akan disalurkan kepada kakitangan kesihatan yang sedang berusaha memerangi wabak itu khususnya di daerahnya.
Sumbangan tersebut akan digunakan untuk membeli cecair nyah kuman, semburan nyah kuman dan menyebarkan maklumat kepada penduduk berkenaan bahayanya jangkitan virus Covid-19.
Selain menyumbangkan gaji, dia juga dilaporkan turut mewakafkan tanah miliknya seluas 2.500 meter untuk digunakan bagi pengebumian mangsa Covid-19.
Dalam video tersebut, Badarudin menyatakan bahawa tanah miliknya itu nanti boleh digunakan untuk pemakaman mangsa Covid-19 yang tidak diterima oleh penduduk.
Badarudin juga turut menzahirkan kekesalan apabila mendengar khabar angin yang menyatakan bahawa terdapat mangsa Covid-19 yang perlu dikebumikan mendapat tentangan daripada penduduk setempat.
Menurutnya, perkara tersebut diputuskan kerana rasa tanggungjawabnya sesama manusia.
Sumber: Tribun