Tapah, 31 Dis – Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daerah Tanjung malim dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan pagi tadi.
Dalam tragedi sekitar pukul 6.15 pagi tadi, Luth Ishak, 34 maut di lokasi kejadian selepas kenderaan pacuan roda dinaikinya bersama tiga penumpang lain merempuh belakang sebuah lori di lebuhraya arah selatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera parah setelah kenderaan dinaikinya merempuh belakang sebuah lori yang menukar haluan.
Tak sempat elak
“Kejadian berlaku ketika kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan menuju arah selatan. Tiba di tempat kejadian, lori membawa muatan telur ayam dan kekacang dipercayai telah menukar laluan dari lorong kanan ke lorong kiri.
“Keadaan itu menyebabkan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dinaiki mereka tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori,” ulasnya.
Selain itu, dua lagi penumpang kenderaan itu cedera parah manakala pemandu cedera ringan. Pemandu lori pula mengalami patah kaki kiri dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan.
Mayat mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Kehilangan besar
Menurut Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, mangsa baru sahaja menghubunginya untuk meminta bantuan bagi surau daif di kampungnya.
“Dimaklumkan, pada awal pagi ini kami kehilangan seorang sahabat seperjuangan yang amat berdedikasi dan komited dalam amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
“Baru semalam beliau menghubungi meminta bantuan untuk surau di kampungnya yang telah uzur.”
أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Ya Allah. Engkau berilah keampunan baginya, dan limpahkan rahmat kepadanya, dan selamatkan dia dan maafkan kesalahannya.
Sumber: Sinar Harian