tapak nuklear iran utuh
Gambar: AFP

Ketahui Sebab Tapak Nuklear Iran Masih Utuh Meski Dibom AS

Hannah

Ketahui Sebab Tapak Nuklear Iran Masih Utuh Meski Dibom AS

Media sosial baru-baru ini ‘kecoh’ apabila Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menggugurkan enam bom “bunker buster” di Fordo, salah satu tapak nuklear utama Iran.

Meski disifatkan sebagai “bom terkuat” yang hanya dimiliki AS, orang ramai tertanya-tanya, mengapa fasiliti seperti Fordo masih kekal utuh dan tidak musnah sepenuhnya?

Menurut CNBC, memusnahkan program nuklear Iran bukan satu tugas mudah.

Tapak nuklear Fordo: Kubu kebal bawah tanah

Antara fasiliti paling canggih dan sukar ditembusi Iran ialah loji nuklear Fordo yang terletak di kawasan pergunungan di barat laut negara itu.

Tapak ini dibina sedalam 300 kaki di bawah tanah dan dilindungi dengan lapisan konkrit bertingkat.

Ini menjadikannya hampir mustahil dimusnahkan kecuali menggunakan bom khas GBU-57 Massive Ordnance Penetrator (MOP).

Bom seberat 30,000 paun ini hanya dimiliki oleh AS, dan hanya pesawat pengebom halimunan B-2 Spirit yang mampu membawa serta menggugurkannya.

Jelas CNBC, fakta ini menjadi sebab utama mengapa Israel begitu beria-ia mahu AS terlibat dalam operasi mereka terhadap Iran, bukan sekadar bantuan pertahanan.

Serangan tunggal tidak mencukupi

Menurut pakar ketenteraan, serangan menggunakan bom MOP bukanlah satu operasi yang boleh selesai dengan satu guguran sahaja.

Profesor David Des Roches dari National Defense University di Washington berkata bahawa sekurang-kurangnya dua bom perlu digugurkan pada lokasi yang sama. Malah, ia juga mungkin memerlukan beberapa siri serangan susulan.

Namun begitu, tetap tiada jaminan bahawa kerosakan sepenuhnya boleh berlaku.

Dalam sesetengah keadaan, tentera mungkin perlu masuk ke kawasan tapak secara fizikal untuk memastikan sasaran dimusnahkan.

Tambah CNBC, ini mungkin hanya boleh dilakukan sama ada dengan memasuki kemudahan, meletupkan pintu masuk, memasang bahan letupan dari dalam atau mendapatkan risikan terlebih dahulu.

Kesan psikologi mungkin lebih besar daripada kerosakan fizikal

Lapor CNBC lagi, meski bom MOP tidak menyebabkan kemusnahan besar di luar kawasan sasaran, ia tetap memberi kesan psikologi yang besar kepada Iran.

Ini mungkin kerana sebahagian besar sistem pertahanan Iran telah ‘dilumpuhkan’ dalam serangan Israel.

Bagaimanapun, Ali Vaez dari Crisis Group menyatakan bahawa walaupun tanpa laluan diplomatik, Iran tetap mampu membina semula program nuklearnya.

“Trump mungkin ‘berjaya’ musnahkan Fordo, tetapi beliau tidak akan mampu memusnahkan ilmu dan pengetahuan yang Iran sudah miliki,” kata Vaez.

BACA: Ketahui ‘Padah’ Penutupan Selat Hormuz

BACA: 11 Negara Paling Selamat Berlindung Jika Perang Dunia Ke-3 Meletus

BACA: Peluru Berpandu Hipersonik Sukar Dipintas, Ini Sebabnya

Sumber: CNBC