Ketahui Sebab 90 Peratus Jepun Dikatakan Kini 'Kosong'
Di sebalik imej Jepun sebagai sebuah negara maju yang sering sesak dengan penduduk dan pelancong, siapa sangka bahawa hampir 90 peratus kawasan negara Matahari Terbit itu dikatakan kini 'kosong'.
Umum diketahui, Jepun sering dikenali sebagai antara negara paling padat penduduk di dunia. Dengan populasi sekitar 123 juta orang, Jepun berada di kedudukan ke-11 negara berpenduduk paling ramai di dunia.
Pulau utamanya, Honshu, sahaja menempatkan lebih 83 peratus penduduk negara itu, bersamaan lebih 102 juta orang.

Namun, di sebalik angka yang besar ini, Jepun mempunyai corak taburan penduduk yang sangat luar biasa.
Hakikatnya, hampir dua pertiga rakyat Jepun tinggal di kawasan yang sangat kecil dan memanjang. Manakala, baki 90 peratus keluasan negara itu didiami oleh populasi yang jauh lebih kecil.
Keadaan inilah yang membuatkan sebahagian besar Jepun kelihatan seolah-olah 'kosong', walaupun negara itu sebenarnya mempunyai jumlah penduduk yang ramai.
Fenomena "garis penduduk" Jepun
Sebahagian besar penduduk Jepun sebenarnya tinggal di satu kawasan memanjang yang sempit, iaitu dari bahagian tengah hingga ke tenggara negara itu.
Jalur ini merangkumi bandar-bandar metropolitan utama seperti Fukuoka, Hiroshima, Kobe, Osaka, Kyoto, Nagoya, Shizuoka dan Tokyo.
Dianggarkan sekitar 80 juta orang tinggal di jalur ini yang panjangnya kira-kira 1,200 kilometer, tetapi hanya meliputi kurang daripada 10 peratus keluasan tanah Jepun. Sebaliknya, lebih 90 peratus baki tanah negara itu hanya dihuni sekitar 43 juta orang.
Keadaan ini menyebabkan kawasan jalur tersebut menjadi sangat padat, dengan kepadatan penduduk hampir 17 kali ganda lebih tinggi berbanding kawasan lain di Jepun.
Secara tidak langsung, perbezaan yang besar ini menjadikan Jepun antara negara dengan taburan penduduk paling unik di dunia.
Taiheiyo Belt: Nadi penduduk & ekonomi Jepun
Jalur ini dikenali sebagai Taiheiyo Belt atau Pacific Belt, iaitu pusat utama penduduk, ekonomi dan industri Jepun. Malah, kawasan ini menyumbang kira-kira 70 peratus keseluruhan ekonomi Jepun.
Gambar: YouTube RealLifeLoreTaiheiyo Belt sering dibandingkan dengan Northeast Megalopolis di Amerika Syarikat yang merangkumi bandar dari Washington D.C. hingga Boston.
Namun, jalur di Jepun ini jauh lebih padat, dengan kira-kira 80 juta penduduk, berbanding sekitar 53 juta orang di kawasan yang sama di Amerika Syarikat.
Kepekatan penduduk yang tinggi ini juga menjelaskan mengapa Jepun mampu membangunkan sistem kereta api berkelajuan tinggi (Shinkansen) yang sangat cekap.
Sebagai contoh, perjalanan dari Tokyo ke Fukuoka hanya mengambil masa sekitar tiga setengah jam. Ia sekali gus menjadikan pengangkutan awam tulang belakang kehidupan harian di negara itu.
Mengapa ini terjadi?
1. Faktor geografi
Sebab utama penduduk Jepun tertumpu di kawasan tertentu ialah faktor geografi. Kira-kira 73 peratus kawasan Jepun diliputi pergunungan, menyebabkan kawasan tanah rata yang sesuai untuk pembinaan bandar dan pertanian menjadi sangat terhad.
Akibatnya, penempatan penduduk tertumpu di beberapa dataran besar yang lebih rata dan sesuai untuk kehidupan, iaitu:
Dataran Kanto – menempatkan Tokyo dan kawasan metropolitan terbesar di dunia dengan lebih 41 juta penduduk
Dataran Kinai – meliputi Osaka, Kobe dan Kyoto dengan lebih 19 juta penduduk
Dataran Nobi – kawasan Nagoya dengan sekitar 9 juta penduduk
Secara keseluruhan, hampir 70 juta orang tinggal hanya di tiga dataran utama ini sahaja.
Gambar Hiasan (BERNAMA)Selain faktor bentuk muka bumi, arus laut turut mempengaruhi taburan penduduk.
Arus Kuroshio yang panas menjadikan kawasan timur Jepun beriklim lebih sederhana dan selesa. Sebaliknya, arus Oyashio yang sejuk menyebabkan kawasan utara dan barat Jepun menerima salji tebal.
Wilayah seperti Hokkaido dan barat Honshu sering dikenali sebagai "negara salji", di mana kos pembangunan lebih tinggi dan kehidupan lebih mencabar. Keadaan ini menjadikan kawasan tersebut kurang menarik untuk penempatan penduduk berskala besar.
2. Ekonomi
Bahagian timur Jepun yang menghadap Lautan Pasifik memiliki beberapa pelabuhan semula jadi bertaraf dunia, antaranya Teluk Tokyo dan Teluk Osaka.
Kedua-dua pelabuhan ini luas, dalam dan terlindung, serta bersambung terus dengan kawasan tanah rata di pedalaman. Ia sekali gus menjadikannya sangat sesuai untuk perdagangan dan pembangunan bandar.
Teluk Tokyo sahaja mengendalikan sekitar 350 juta tan kargo maritim setiap tahun, iaitu jumlah yang hampir menyamai keseluruhan perdagangan laut sebuah negara seperti Itali.
Sebaliknya, kawasan barat Jepun yang menghadap Laut Jepun kebanyakannya mempunyai pelabuhan yang lebih kecil dan kurang sesuai untuk perdagangan berskala besar.
Keadaan ini menyebabkan pembangunan ekonomi dan penempatan penduduk di kawasan tersebut berkembang dengan lebih perlahan.
Selain itu, Laut Pedalaman Seto juga memainkan peranan penting. Perairan yang terletak di antara Honshu, Kyushu dan Shikoku ini tenang dan terlindung, lalu menjadi laluan perdagangan utama sejak zaman dahulu. Ia menghubungkan bandar-bandar penting seperti Osaka, Hiroshima dan Kobe.
Disebabkan iklimnya yang sederhana dan sesuai untuk pelayaran sepanjang tahun, Laut Pedalaman Seto sering digelar "Mediterranean Jepun". Faktor ini menggalakkan penempatan penduduk serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitarnya.
3. Sejarah politik & dasar Shogun
Pada abad ke-17, Keshogunan Tokugawa memindahkan pusat pemerintahan dari Kyoto ke Edo (kini Tokyo). Langkah ini memberi kesan besar terhadap corak penempatan penduduk Jepun.
Melalui dasar Sankin-kotai, para pembesar feudal atau daimyo diwajibkan berulang-alik ke Edo setiap tahun.
Dasar ini secara tidak langsung mempercepat pembangunan jalan raya, bandar persinggahan dan aktiviti ekonomi di sepanjang laluan utama perjalanan mereka.
Kebanyakan laluan ini terletak dalam Taiheiyo Belt, sekali gus mengukuhkan lagi tumpuan penduduk di kawasan tersebut.