KESUMA Mewartakan Empat Perundangan, Tambah Baik Prinsip Kebebasan Berkesatuan
MTUC Sarawak menzahirkan penghargaan ke atas Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong yang telah mewartakan empat perundangan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi menambahbaik prinsip kebebasan berkesatuan di kalangan para pekerja.
Kami percaya bahawa pewartaan tersebut dapat mengangkat undang-undang buruh negara kepada satu standard yang selari dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Disamping itu, MTUC Sarawak juga menghargai sikap dedikasi dan komited Menteri Sumber Manusia yang telah turun ke Sarawak bagi menyaksikan Perjanjian Kolektif kali ke 17 antara Sarawak Commercial Banking Associaiton (SCBA) dan Sarawak Banking Employee Union (SBEU).
Ini merupakan satu sejarah yang hebat kerana buat pertama kalinya seorang Menteri sudi hadir dan menjadi saksi kepada perjanjian kolektif ini.

MTUC Sarawak juga percaya proses akhir meminda Sarawak Labour Ordinance (SLO) yang telah tertangguh selama hampir 20 tahun akan berjaya dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini. Iltizam serta kesepaduan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak merupakan kunci utama kepada kejayaan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) baharu ini di Parlimen kelak.
Bergerak ke hadapan, MTUC Sarawak mempunyai keyakinan penuh bahawa KESUMA berada di landasan yang tepat dalam memastikan misi 3K iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan yang diilhamkan oleh YB Menteri akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.