Kesan Stres dan Anxiety Yang Diam-Diam Merosakkan Diri
Dalam dunia moden yang bergerak pantas ini, stres dan anxiety sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kebanyakan orang tanpa kita sedari.
Tekanan kerja yang menuntut kesempurnaan, tanggungjawab keluarga yang tidak pernah berhenti serta desakan kehidupan yang semakin mencabar sering menjadikan minda kita sarat dengan beban emosi.
Di tambah pula dengan dunia digital yang menuntut kita sentiasa berfungsi dan membandingkan diri dengan orang lain. Tidak hairanlah ramai kini hidup dalam keadaan tegang dan penat bukan sahaja secara fizikal tetapi juga dari segi mental.
Walaupun ramai menganggap stres itu perkara biasa yang akan hilang sendiri, hakikatnya tekanan yang dibiarkan berlarutan boleh menjadi racun senyap yang menghakis kestabilan diri sedikit demi sedikit.
Apa yang lebih membimbangkan, kesan stres dan anxiety tidak hanya berhenti di fikiran. Ia turut meresap ke seluruh tubuh, memberi isyarat melalui perubahan yang mungkin kita anggap remeh.
Contohnya seperti rambut yang semakin banyak gugur, kulit yang tiba-tiba naik jerawat dan tidur yang tidak lena. Selera makan juga boleh berubah malah hati menjadi mudah gelisah tanpa sebab yang jelas.
Semua ini bukan kebetulan. Ia sebenarnya cara tubuh dan minda memberitahu bahawa kita sedang memaksa diri melebihi had kemampuan.
Sekiranya isyarat ini terus diabaikan, keseimbangan antara kesihatan fizikal, emosi dan mental akan mula tergugat.
1. Gangguan emosi dan mental
Apabila stres dan anxiety mula menguasai fikiran, perkara pertama yang terjejas ialah kestabilan emosi. Individu mungkin menjadi mudah marah, cepat berasa cemas,atau tiba-tiba menangis tanpa sebab yang jelas.
Minda menjadi kusut, tumpuan sukar diberi dan kerja yang biasanya mudah terasa seperti beban besar.
Rasa takut akan perkara yang belum berlaku sering menghantui. Ianya seolah-olah setiap hari diiringi kebimbangan yang tidak berpenghujung.
Lama-kelamaan, rasa letih secara mental ini boleh membawa kepada kemurungan (depression) dan akan menjadikan seseorang hilang semangat untuk melakukan perkara yang dahulunya menggembirakan.
2. Kesan fizikal
Walaupun stres bermula dalam fikiran, kesannya cepat menjalar ke seluruh tubuh. Antara tanda paling ketara ialah sakit kepala dan migrain yang datang tanpa amaran.
Terutamanya apabila tekanan memuncak. Otot leher dan bahu menjadi tegang, badan terasa lemah walaupun tidur kelihatan mencukupi.
Selain itu, sistem pencernaan juga akan turut terganggu. Ada yang mengalami pedih ulu hati, cirit-birit, sembelit atau kembung perut berulang kali tanpa sebab yang jelas.
Dalam masa yang sama, degupan jantung menjadi lebih laju, tekanan darah naik dan tubuh mudah berpeluh akibat peningkatan hormon stres seperti kortisol dan adrenalin.
3. Rambut gugur dan jerawat
Salah satu kesan stres dan anxiety yang sering tidak disedari ialah perubahan pada penampilan diri. Rambut mula gugur dengan banyak setiap kali disikat atau dibasuh.
Ianya sesuatu yang mungkin kelihatan remeh tetapi sebenarnya tanda bahawa tubuh sedang berada dalam keadaan tertekan.
Hormon kortisol yang meningkat akibat stres boleh mengganggu kitaran pertumbuhan rambut. Ia akan menyebabkan folikel menjadi lemah dan akhirnya gugur sebelum waktunya.
Bukan itu sahaja, kulit wajah juga turut memberikan amaran. Stres boleh mencetuskan pengeluaran minyak berlebihan di kulit sekali gus menyebabkan jerawat tumbuh di kawasan seperti dagu, pipi dan dahi.
Bagi sesetengah individu, jerawat yang berpunca daripada tekanan emosi ini lebih sukar sembuh dan sering meninggalkan parut. Keadaan ini membuatkan keyakinan diri semakin merosot. Keadaan ini akan menambahkan tekanan yang sedia ada.
4. Perubahan tabiat dan tingkah laku
Di samping itu, apabila stres tidak diurus dengan betul, ianya perlahan-lahan akan mengubah cara kita hidup tanpa disedari.
Ada yang hilang selera makan hingga berat badan turun mendadak dan ada pula yang makan berlebihan sebagai cara menenangkan diri. Waktu tidur menjadi tidak menentu sama ada terlalu banyak tidur atau langsung tidak lena.
Sesetengah individu akan mula bertindak untuk mengasingkan diri, menjauh daripada rakan dan keluarga kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.
Malah ada juga yang akan mencari jalan pintas dengan merokok, mengambil alkohol atau ubat-ubatan tertentu bagi menenangkan diri walaupun cara itu sebenarnya lebih memudaratkan dalam jangka panjang.
5. Imun badan lemah
Seterusnya, apabila tubuh berada dalam keadaan stres yang berpanjangan sistem imun menjadi semakin lemah. Tubuh sukar melawan jangkitan dan proses penyembuhan luka juga akan menjadi perlahan.
Seseorang mungkin mudah demam, sering selsema atau berasa lemah tanpa sebab yang jelas. Ini kerana hormon kortisol yang tinggi dalam badan menekan fungsi sistem imun dan menjadikan tubuh kurang daya tahan terhadap penyakit.
6. Sukar fokus dan mudah lupa
Satu lagi kesan stres dan anxiety yang sering diabaikan ialah kesukaran untuk fokus dan ingatan yang semakin merosot.
Otak yang sentiasa bekerja dalam keadaan tegang tidak akan dapat menumpukan perhatian dengan baik. Ia akan membuatkan seseorang mudah lupa perkara kecil seperti di mana meletakkan kunci, apa yang ingin dikatakan atau tugas yang perlu disiapkan.
Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menjejaskan prestasi kerja dan keyakinan diri. Bukan kerana seseorang itu malas atau tidak bijak tetapi kerana mindanya sudah terlalu sarat dengan tekanan yang tidak dilepaskan.
7. Kesan jangka panjang
Sekiranya stres dan anxiety tidak ditangani dengan baik, kesannya boleh menjadi kronik dan merosakkan kesihatan dalam jangka masa panjang.
Antara risiko yang paling ditakuti termasuklah kemurungan teruk (major depression), masalah jantung, tekanan darah tinggi, gangguan tidur berpanjangan (insomnia) dan sindrom keletihan melampau (burnout syndrome).
Bukan sahaja fizikal akan menjadi lemah tetapi semangat dan kualiti hidup juga semakin pudar. Dalam keadaan yang tertentu, individu boleh hilang keinginan untuk bekerja, bergaul atau menikmati kehidupan seperti biasa.
Kesimpulannya, stres dan anxiety bukan sekadar masalah emosi. Ia adalah isyarat tubuh dan minda yang memerlukan perhatian.
Apabila tekanan dibiarkan berlarutan, ia bukan hanya menjejaskan prestasi hidup malah boleh menampakkan kesannya pada wajah, kulit dan rambut.
Jadi, jika anda mula perasan perubahan kecil seperti jerawat yang tidak surut, rambut yang semakin menipis atau hati yang mudah gelisah tanpa sebab, jangan biarkan ia berlanjutan.
Luangkan masa untuk diri sendiri, tenangkan fikiran dan rawat semula keseimbangan dalam hidup kerana kesihatan mental adalah kunci kepada kecantikan dan kesejahteraan sebenar.
BACA : Nak Tukar ke EV? Ini Senarai Insentif Dari Kerajaan Malaysia
Sumber :
mayoclinic
,
webmd