
Kes Zara Qairina: Fadhlina Nafi Tidak Berbuat Apa-Apa
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaan bahawa beliau tidak berbuat apa-apa mengenai kematian pelajar di sebuah sekolah di Sabah.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menegaskan telah menziarahi keluarga Zara Qairina di hospital Kota Kinabalu pada 17 Julai.
“Tidak benar, fitnah ini berat dan sedang berleluasa. Berhentilah menyebarkan fitnah tanpa usul periksa.
“Saya pastikan semua keperluan keluarga dipenuhi. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga diarah untuk menyalurkan bantuan segera,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu pada 18 Julai, menyatakan komitmen kementerian untuk bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.
“Saya teliti laporan harian dan memantau secara dekat kes ini serta memastikan JPN Sabah memberi bantuan terbaik kepada keluarga. Kes ini adalah tumpuan utama kami di Kementerian pada waktu ini.
“Beberapa siri ziarah cakna dilakukan JPN Sabah ke atas keluarga. Intervensi krisis dan trauma turut dilaksanakan untuk murid, guru dan warga sekolah bagi memastikan aspek kesejahteraan terpelihara.
“Memahami kegusaran keluarga dan masyarakat, saya keluarkan satu lagi kenyataan susulan pada 25 Julai 2025. Saya nyatakan pendirian tegas Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang salah laku. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan pihak polis,” ujarnya lagi.
Justeru, Fadhlina memohon semua pihak menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.
“Apabila kebenaran sampai ke puncak, keadilan pasti akan tertegak. Dalam kita mengharapkan keadilan bagi kes ini, jangan pula menganiaya orang lain. Berhentilah menyebarkan berita yang tidak sahih,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa maklumat yang tidak sahih boleh menyebabkan murid, guru dan warga sekolah yang tidak bersalah turut terkesan.
“Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penularan berita tidak sahih dan fitnah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan,” katanya.
Sumber: Fadhlina Sidek