Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa hanya terdapat satu kes jururawat yang menyuntik picagari kosong iaitu di kem tentera di Sungai Petani.
Menurutnya, jururawat tersebut telah mengaku bahawa berlakunya kecuaian kerana keletihan.
“Inilah satu-satunya kes di mana jururawat tersebut telah mengaku bahawa telah berlaku kecuaian disebabkan keletihan pada jururawat tersebut,” katanya.
Difahamkan, amaran telah diberikan kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat disebabkan jururawat itu bertugas di kem tentera.
“Jururawat itu akan melalui proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy juga memaklumkan bahawa terdapat beberapa laporan polis yang telah dibuat berkaitan suntikan kosong serta ada kes salah faham berserta laporan yang dibuat kerana penerima tidak merasa kebas di lengan.
Jelasnya, tidak semua orang akan mengalami kesan yang sama selepas vaksinasi.
Beliau memaklumkan perkara tersebut dalam sidang media berkaitan PICK tengah hari tadi.
Sumber: JKJAVMY