rasuah jana wibawa adam radlan
Kredit: Bernama

Kes Rasuah Jana Wibawa: Adam Radlan Hadapi Dua Lagi Pertuduhan

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Kes Rasuah Jana Wibawa: Adam Radlan Hadapi Dua Lagi Pertuduhan

SHAH ALAM, 22 Feb (Bernama) — Ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad yang didakwa semalam atas dua pertuduhan rasuah, hari ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Adam Radlan, 42, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, ahli perniagaan berkenaan didakwa menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh Mamat melalui akaun CIMB Bank Bhd milik syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Allan Suman Pillai memohon wang jaminan RM500,000 dan dua orang penjamin untuk setiap pertuduhan serta tertuduh perlu melapor diri setiap dua bulan sekali ke pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan memohon agar wang jaminan dikurangkan kepada RM300,000 untuk kedua-dua pertuduhan memandangkan akaun tertuduh sudah dibekukan dan kini menanggung empat orang anak dan ibunya.

Rozilah membenarkan Adam Radlan diikat jamin RM300,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan iaitu melapor diri ke pejabat SPRM di Putrajaya sebulan sekali.

Rozilah berkata sekiranya pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur digugurkan, pihak pendakwaan diminta memindahkan pasport tertuduh untuk disimpan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, Hakim Suzana Hussin membenarkan Adam Radlan diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Rozilah menetapkan sebutan semula kes pada 14 April depan.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya dibuat mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, penangguhan projek melibatkan nilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.

BACA: Projek Jana Wibawa: Wan Saiful Didakwa Terima Rasuah RM6.9 Juta

Sumber: Bernama