
Pemain bola sepak Guinea, Mathias Pogba ditahan polis berhubung dakwaan kes perancangan ugut melibatkan pemain tengah Perancis dan bintang Juventus iaitu adiknya sendiri, Paul Pogba.
Abang kepada Paul Pogba itu merupakan salah seorang daripada lima suspek kes ugutan berjumlah RM57 juta yang kini ditahan sementara menunggu keputusan daripada hakim berhubung jaminan.
Bagaimanapun menurut peguam Yassine Bouzrou, pihaknya akan berterusan membela Mathias dengan mengemukakan bukti yang kukuh.
“Pihak kami akan mencabar keputusan mahkamah,” katanya kepada penyiar Perancis BFMTV memetik Metro UK.
Tambah Bouzrou, anak guamnya yang berusia 32 tahun itu tidak melakukan jenayah kesalahan seperti yang dinyatakan oleh Paul.
Memetik sumber AFP seperti yang dilapor Metro UK, keempat-empat suspek yang berusia dalam lingkungan 27 hingga 36 tahun itu pula merupakan saudara kepada adik-beradik Pogba.
Sementara itu, peguam Romain Bullet yang melindungi seorang lelaki yang berusia 33 tahun yang telah dipenjarakan berkata dia kesal atas keputusan yang dibuat walaupun untuk melindunginya.
“Saya kesal dengan keputusan ini, walaupun secara khusus ia diminta untuk melindunginya.
“Dia merupakan mangsa manipulasi dan ancaman daripada pemerasan sama seperti Paul Pogba dan merupakan perangkap untuk menutup dirinya,” katanya apabila ditanya mengenai kes Mathias.

Sebelum ini, Paul mendakwa dia menjadi mangsa ugutan sebanyak RM57 juta oleh kumpulan yang didakwa itu – termasuk abangnya sendiri.
Katanya, semenjak dia berusia 16 tahun kumpulan itu didakwa telah meminta wang daripadanya sebagai ‘perlindungan’ yang bernilai RM4.54 juta setahun.
Kemudian, pemenang Piala Dunia itu membuat laporan polis selepas kumpulan berkenaan mendesaknya untuk mendapatkan lebih banyak wang.
Bagaimanapun pada Ogos lepas, Mathias memuat naik satu video dan berkata bahawa Paul berbohong kepada pihak berkuasa Itali dan orang awam (tentang dakwaan itu).
Jelas Mathias, dia berharap orang awam tidak terpedaya dengan kenyataan yang dikeluarkan Paul dengan percubaan untuk manipulasi media dan pihak berkuasa.
“Apabila anda terkenal, dunia memihak kepada anda dan pihak berkuasa mendengar kepada anda dengan teliti.
“Tetapi itu tidak bermakna anda berkuasa ke atas undang-undang, polis bukan patung boneka untuk dipermainkan,” katanya dalam video itu.
Mathias ketika itu akhirnya dilaporkan menyerah diri kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
Sumber: Metro UK