
Kes khianat ke atas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang seperti yang tular baru-baru ini tiada melibatkan unsur gangsterisme.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Bin Wan Busu berkata, pihaknya mengesan satu hantaran yang dimuat naik oleh sebuah akaun Facebook mengenai kejadian tersebut.
Difahamkan, hantaran yang dimuat naik individu berkenaan tular hingga meraih kira-kira 10,000 tanda ‘Suka’, 10,000 komentar serta 23,000 perkongsian di media sosial.
“Berkenaan isu ini, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan telah menerima laporan polis dari pihak sekolah dan ibu mangsa.
“Pihak polis telah mengambil tindakan merakam percakapan yang terlibat seperti guru-guru, pelajar-pelajar dan ibu mangsa bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal juga mendapati tiada wujudnya sebarang unsur-unsur gangsterisme dalam kejadian ini,” jelas Wan Mohd Zahari dalam satu kenyataan media pada semalam.
Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaaan.
Dalam pada itu, orang awam diminta agar tidak ‘mendahului’ siasatan pihak polis mengenai kes tersebut yang masih berjalan.
“Polis Kuantan ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang posting perkongsian yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa,” maklumnya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran yang dibuat oleh seorang individu yang mendakwa anaknya menjadi mangsa buli di institusi pendidikan tersebut baru-baru ini.
Dalam hantaran tular berkenaan, individu itu memuat naik kenyataan berupa kronologi kes perkara-perkara yang berlaku ke atas anaknya.
Selain itu, individu berkenaan juga turut memuat naik beberapa keping foto yang memaparkan keadaan semasa perbuatan khianat tersebut.
Berdasarkan foto-foto yang dikongsikan, antara yang menjadi perhatian ramai adalah tulisan-tulisan di permukaan objek yang ditulis secara tidak kemas.
Selain tulisan, kejadian ‘misteri’ lain yang turut dirakam adalah sejumlah selipar dan kasut yang disusun di tepi pintu.
Tidak kurang juga, beberapa helai pakaian yang digantung telah digunting, selain ibu mangsa mendakwa rambut anaknya turut dipotong.
Hantaran itu tular di media sosial hingga mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan warganet.
Sumber: Facebook Polis Kuantan