Putrajaya, 23 September – Sebanyak tiga kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Malaysia hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketiga-tiga kes ini melibatkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara.
Kes kematian pertama (23 September)
Kes kematian pertama ialah kes ke-10,495 yang merupakan wanita warganegara Indonesia berusia 48 tahun.
Pesakit mempunyai mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Beliau mula mengalami gejala lemah badan, muntah, batuk dan demam pada 14 September 2020 dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, Sabah pada 18 September 2020 dalam keadaan separa sedar.
Susulan keadaan yang semakin merosot, wanita itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 19 September lalu.
Beliau disahkan meninggal dunia pada hari sama pada jam 10.20 malam.
Saringan COVID-19 didapati positif pada 22 September 2020.
Kes kematian kedua
Kes kematian ke-132 melibatkan kes ke-10,493 yang merupakan lelaki warganegara tempatan berusia 54 tahun.
Pesakit telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, Sabah pada 18 September 2020 bagi gejala demam, batuk dan sukar bernafas.
Beliau telah menjalani saringan COVID-19 sebelum keadaan semakin merosot.
Pesakit kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada 20 September 2020 dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Mangsa disahkan meninggal dunia pada 22 September 2020 pada jam 6.55 petang.
Pada 22 September 2020, saringan COVID-19 didapati positif.
Kes kematian ketiga
Kes kematian ke-133 (kes ke-9224) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dengan latar belakang penyakit strok.
Pesakit merupakan kontak rapat kes ke-9124 (kes kematian ke-127) yang merupakan kes positif dalam Kluster Tawar.
Warga emas berkenaan tidak bergejala, namun dikesan positif COVID-19 pada 19 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Keadaannya semakin merosot sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Pesakit disahkan meninggal dunia pada 23 September 2020 pada jam 3.40 pagi tadi.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.
Susulan tiga kematian hari ini, angka kumulatif kematian akibat COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 133 kes, bersamaan 1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sumber: KP Kesihatan