Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa kes COVID-19 dijangkakan akan bertambah dalam seminggu atau dua minggu sebelum dapat melihat kestabilan kes.
Menurutnya, saringan bersasar yang telah dipertingkatkan terutama di negeri-negeri yang mempunyai penularan yang tinggi seperti Selangor menyumbang kepada peningkatan kes.
“Kita jangkakan kes-kes akan bertambah iaitu kita mula pada 13 Julai, ini baru seminggu dan kes dijangka akan bertambah dalam seminggu dua lagi sebelum kita lihat kestabilan kes,” katanya.
Tambahnya lagi, salah satu faktor yang menyebabkan peningkatan kes adalah kemunculan varian baharu seperti varian delta yang menjadi dominan.
Beliau memaklumkan perkara tersebut setelah ditanya oleh wartawan dalam sidang media pada petang ini.
Sumber: Bernama TV