Kuala Lumpur : Polis telah mengenal pasti tiga lelaki yang disyaki mengeluarkan kenyataan sensitif berhubung kes polis tembak mati seorang individu dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Isnin.
Ketua Penolong Pengarah D5 Pendakwaan/Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Mior Farid Alatrash Wahid berkata dua daripada lelaki itu berasal dari Kedah manakala seorang lagi dari Pulau Pinang.
“Ketiga-tiga mereka berumur dalam lingkungan 35 hingga 40-an dan polis sedang mengesan mereka dan siasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, hari ini.
Isnin lepas, seorang lelaki mati ditembak dalam kejadian yang turut menyebabkan seorang maut ditetak dan seorang lagi pekerja kilang di Bayan Lepas itu cedera.
Dalam perkembangan lain, Mior Farid Alatrash berkata polis kekal dengan pendirian mengusulkan satu inkues mengenai kejadian tiga lelaki ditembak mati oleh polis di Batu Arang, Rawang, Sabtu lepas.
Beliau berkata inkues itu belum boleh dimulakan kerana proses untuk menyediakan laporan bedah siasat dan forensik sedang giat dijalankan dan sejurus siap, ia akan segera dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Pada 18 Sept lepas, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan dua daripada tiga individu yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Batu Arang dekat sini merupakan ahli kongsi gelap 08.
Sumber : Bernama