
Kuala Lumpur : Hampir RM55 juta lesap akibat jenayah ‘Macau Scam’, yakni aktiviti memperdaya mangsa dengan panggilan palsu hingga mengakibatkan kerugian wang ringgit, di Kuala Lumpur sepanjang tahun lepas,
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata angka itu menunjukkan peningkatan ketara, menjangkau sehingga empat kali ganda berbanding kerugian RM13 juta yang direkodkan pada 2017.
”Selain itu, aktiviti tipu pinjaman tidak wujud (PTW) turut mencatatkan peningkatan, yang mana kerugian oleh mangsa menjangkau lebih RM5 juta direkodkan pada 2018, berbanding RM3.7 juta tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama kira-kira 100 pelajar pada Program Share Your Story@FEP (Fakulti Ekonomi dan Pengurusan) di Universiti Putra Malaysia di Serdang hari ini, program yang membolehkan peserta berkongsi pengalaman mengenai jenayah penipuan atau ‘scam’.
Menurut Mazlan mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun merupakan golongan paling tinggi menjadi mangsa jenayah penipuan sindiket dalam talian.
Sumber : Bernama