KOTA BHARU, 16 Dis -Kerajaan negeri Kelantan dijangka memulakan kerja-kerja menaiktaraf Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada awal tahun hadapan sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 pada 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata kesemua kerja menaiktaraf itu membabitkan kos lebih RM7 juta yang disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan.
“Kementerian telah meluluskan peruntukan awal sebanyak RM5 juta tetapi setelah membuat penelitian kami memerlukan tambahan sebanyak RM2.5 juta lagi yang kami jangka akan diluluskan.
“Antara yang dinaiktaraf adalah penukaran keseluruhan lampu limpah, penambahan astaka dan juga tempat duduk penonton yang lebih selesa,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perbadanan Stadium Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di sini hari ini.
Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang terletak di tengah bandar Kota Bharu dibina pada 1967 membabitkan kos RM1.5 juta dan boleh memuatkan 30,000 penonton.
Wan Roslan berkata stadium juga akan dicat baharu selain membaik pulih beberapa lagi prasarana sedia ada.
Dalam pada itu, mengenai persiapan menghadapi SUKMA ke-22, Wan Roslan berkata satu stadium akan dibina di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang dijangka menjadi venue utama temasya sukan berkenaan.
“Selain tumpuan sukan di Bukit Merbau, venue acara renang akan dijalankan di Kota Bharu dan velodrom sukan berbasikal adalah di Jeli,” katanya.
Menurut beliau, semua kompleks sukan dibina adalah bertaraf antarabangsa dan pihaknya juga telah melawat Stadium Sultan Ibrahim di Johor yang dijadikan penanda aras pembinaan stadium di Bukit Merbau.
– BERNAMA