Gambar: Oddity Central

Kerja 12 Jam Sehari & Tak Ambil Cuti Langsung, Tindakan ‘Pekerja Terbaik’ Ni Akhirnya Dikecam

Nadhirah

Seorang lelaki di China raih pujian daripada majikannya selepas dia dikatakan sanggup bekerja 12 jam sehari selama sebulan tanpa mengambil sebarang cuti rehat, memetik laporan Oddity Central.

Menurut laporan, sebuah papan iklan yang memaparkan ‘pekerja contoh’ dari sebuah syarikat di Zhengzhou, wilayah Henan itu menjadi tular dalam laman sosial di China.

Papan iklan tersebut memuji pekerja yang diberi nama A kerana sanggup bekerja selama 12 jam sehari sepanjang tempoh 30 hari berturut-turut.

Namun, apabila syarikat itu menjadikan A sebagai pekerja contoh untuk kakitangan baharu dan lama, ia sedikit sebanyak mengundang kritikan orang ramai di media sosial.

Pengguna media menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pengkhianatan’

Kebanyakan pengguna media sosial di sana menyifatkan A sebagai ‘betrayal’ atau dipanggil pengkhianat dan ‘bersubahat’ dengan kerja lebih masa. Sehari selepas foto wajahnya menjadi tular di media sosial, A tampil menjelaskan perkara tersebut.

Menurut A, tiada mana-mana pihak yang memaksa dia untuk bekerja selama 12 jam sehari. A mengaku bahawa dia melakukan perkara itu secara sukarela kerana gajinya akan dikira mengikut jumlah jam bekerja.

Jadi apabila A mahu memperoleh gaji yang banyak dia perlu bekerja lebih masa. Malah dia mendakwa bahawa kerja yang dia lakukan tidaklah sukar dan dia juga tidak perlu berada di tempat kerja sepanjang tempoh bekerja.

Dalam pada itu, majikannya juga membenarkan dia mengambil cuti rehat sekiranya perlu dan dia layak untuk mendapat cuti bergaji selama seminggu bagi setiap suku tahun.

Tambah A, dia turut menafikan sebarang dakwaan yang mengatakan bahawa majikannya mengeksploitasi dirinya.

Walaupun A sudah menjelaskan panjang lebar sebab mengapa dia kerja lebih masa, ia masih tidak membantu untuk meredakan keadaan. Orang ramai tetap menganggap bahawa tindakan dia itu sebagai salah satu masalah.

Dia tetap dianggap sebagai pengkhianat, malah ada juga yang menegaskan bahawa kerja lebih masa boleh mengakibatkan kematian. Jadi tindakan A itu adalah tidak wajar.

Namun, A mendapat sokongan oleh seorang profesor dari Universiti Sosiologi. Profesor tersebut mendakwa tindakan A itu sebagai satu contoh dedikasi dan kerja keras yang harus dikagumi.

Terdahulu, A pernah dinobatkan sebagai pekerja terbaik syarikat itu pada tahun 2021.

Gambar: Oddity Central

Sumber: Oddity Central