kereta tenggelam pelajar unimas
Kredit: UNIMAS
Tiada Kategori

Kereta Tenggelam: Tindakan Berani Pelajar UNIMAS Selamatkan Remaja OKU

Sofea

Kereta Tenggelam: Tindakan Berani Pelajar UNIMAS Selamatkan Remaja OKU

Tindakan pantas dan berani seorang pelajar jurusan Kerja Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Ahmad Nur Irfan Amirrudin berjaya menyelamatkan salah seorang mangsa yang terlibat dalam tragedi kereta tenggelam di tasik universiti itu.

Ahmad Nur Irfan yang juga merupakan Pegawai Kadet Kor SISPA UNIMAS berenang menyelamatkan mangsa yang terkapai-kapai di dalam tasik.

Pihak UNIMAS menzahirkan penghargaan terhadap pelajar itu dan mendedahkan bahawa Irfan telah menerima latihan sebagai first responder daripada Pusat Kawalan Operasi Samarahan (PKOT) dan Kor SISPA.

Justeru, latihan-latihan tersebut sedikit sebanyak memberi pengalaman kepada Irfan untuk menghadapi situasi kecemasan.

BACA JUGA: Kereta Terjunam Ke Tasik UNIMAS, Seorang Wanita Maut Manakala Remaja OKU Selamat

“Hari ini, Ahmad Nur Ifan bin Amirrudin, pelajar jurusan Kerja Sosial daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UNIMAS menjadi seorang wira apabila berjaya menyelamatkan salah seorang mangsa kemalangan yang berlaku di tasik UNIMAS.

“UNIMAS ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Irfan dan semua orang awam yang terlibat dalam operasi menyelamat pagi tadi,” kata UNIMAS menerusi Facebook.

Sementara itu, Irfan berkata ketika kejadian dia bersama dua orang rakannya dalam perjalanan daripada Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR). Mereka berjalan-jalan di kawasan tasik kerana sedang mencari checkpoint untuk program universiti.

“Waktu tersebut dalam jam 10.30 pagi, kami terlihat ada sebuah kereta warna biru di tengah-tengah tasik.

“Kawan-kawan saya hubungi Polis Bantuan dan saya terus selamatkan sebab saya nampak ada budak yang keluar daripada kereta tersebut. Jadi saya terus pergi ke budak tersebut dan tarik dia ke darat,” imbasnya kembali mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, Irfan turut berkata perasaannya bercampur baur pada ketika itu.

“Perasaan saya waktu itu takut, cemas dan risau semua ada sebab saya risau tentang keselamatan mereka,” katanya.

Tambahnya, situasi menyelamat di dalam air ini kali pertama dilakukan olehnya tetapi dia bersyukur kerana telah mendapat latihan untuk menghadapi detik kecemasan seperti itu.

Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam tasik di universiti terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Launtin berkata mangsa dikenali sebagai Nur Shareefah Lusia Abdullah, 50, manakala anaknya Nur Badrina Saharidan, 17, yang turut berada dalam kenderaan itu terselamat.

Sumber: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)