Mariupol – Satu rakaman menunjukkan kereta kebal Rusia T-728 gagal dimusnahkan oleh senjata anti kereta kebal buatan United Kingdom (UK), NLAW tular di media sosial.
Memetik laporan Daily Mail, peluru berpandu itu gagal untuk melumpuhkan sepenuhnya kereta kebal Rusia berkenaan selepas ianya dilihat masih meneruskan perjalanannya tanpa terkesan dengan letupan tersebut.
Difahamkan, kereta kebal Rusia pada awalnya dilihat telah ‘dikepung’ di sepanjang jalan perumahan di Mariupol.
Peluru berpandu itu dikatakan berada dalam jarak yang tidak cukup jauh untuk memusnahkan kereta kebal tersebut sepenuhnya dan hanya melepasi sasarannya.
Bagaimanapun, letusan itu disyaki memperlihatkan kereta kebal itu mungkin mengalami sedikit kerosakan.
Tentera Ukraine yang didakwa melancarkan serangan itu dari tingkap telah melaungkan slogan “Kemuliaan kepada Batalion Azov” – merujuk kepada unit ultranasionalis yang membantu mempertahankan bandar itu.
“Senjata itu boleh berfungsi dalam persekitaran bandar tetapi sukar untuk mendapatkan tembakan yang baik kerana memerlukan jarak yang mencukupi,” kata bekas komander kereta kebal UK, Justin Crump kepada The Times.
NLAW telah dibangunkan oleh firma pertahanan Sweden, Saab dan dikeluarkan di Britain oleh syarikat Perancis, Thales.
Menurut laporan, UK telah menghantar 4,000 senjata anti kereta kebal kepada Ukraine.
Senjata sekali guna seberat 12.5 kg itu dianggarkan berharga kira-kira £20,000 (RM110,460).
Sementara itu, Britain telah menyediakan NLAW kepada Ukraine sebagai sebahagian daripada pakej 4,000 senjata anti kereta kebal.
Kira-kira 40 peratus kereta kebal Rusia yang musnah dalam konflik itu didakwa telah diserang oleh NLAW.
Terdahulu, tentera Rusia dilaporkan telah berjaya memasuki bandar Mariupol pada minggu lalu.
Mereka juga telah memusnahkan sebuah sekolah seni yang menempatkan kira-kira 400 orang yang berlindung di sana.
Serangan itu menyebabkan orang ramai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Tidak cuma itu, kira-kira 1,300 orang dipercayai berada di sekitarnya ketika kejadian pada Rabu minggu lalu.
“Serangan Rusia ke atas bandar pelabuhan selatan Mariupol akan sentiasa diingati selama berabad-abad.
“Semakin banyak keganasan yang Rusia lakukan terhadap Ukraine, semakin buruk akibatnya,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Sumber: Daily Mail