Seorang lelaki dilaporkan terpaksa menjalani prosedur gastroskopi yang rumit untuk mengeluarkan berus gigi berukuran 15 cm dari perut selepas dia didakwa tertelan secara tidak sengaja.
Lelaki yang berasal dari Taizhou, China itu memberitahu doktor bahawa dia telah menggosok gigi pada waktu pagi seperti hari kebiasaannya.
Namun pada hari tersebut, dia berasa sangat mengantuk dari hari kebiasaan. Ketika dia sedang menggosok giginya, secara tidak sengaja dia difahamkan telah tertelan berus plastik yang berukuran 15 cm itu dan tersekat pada kerongkongnya.

Menyedari kesilapannya, dia berusaha untuk mencapai berus tersebut, namun kerana berus tersebut licin, dia telah menyebabkan berus tertolak jauh lebih dalam lagi.
Oleh kerana tidak berasa selesa, lelaki itu segera pergi ke hospital untuk mendapatkan bantuan.
Sampainya disana, doktor terus melakukan imbasan X-ray dan mempersiapkannya untuk melakukan prosedur gastroskopi kecemasan.

Kerana pemegang berus gigi itu licin untuk dicapai walaupun menggunakan gastroskop, doktor di Jabatan Gastroenterologi itu perlu melaraskan kedudukan berus gigi itu terlebih dahulu sebelum boleh menariknya keluar.
Wang Jianrong, Ketua Jabatan Gastroenterologi di Taizhou Fourth People’s Hospital, menyatakan kepada wartawan bahawa pesakit telah melakukan perkara yang betul dengan mencari bantuan perubatan sambil menambah bahawa jika dia berkeputusan untuk melakukan kaedah tradisional, seperti menelan nasi atau cuka, ianya boleh merisikokan kesihatannya.