
Kerana ‘Kekasih’ Alam Maya, Wanita Di Sibu Rugi Lebih RM150,000
SIBU, 14 Dis (Bernama) — Seorang wanita berusia 44 tahun mengalami kerugian sebanyak RM152,050 selepas terpedaya dengan cinta maya (love scam) seorang individu dikenalinya menerusi Facebook sejak awal Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek menghubungi wanita terbabit menggunakan aplikasi WhatsApp pada 8 Okt lepas, memaklumkan dia telah ditahan pihak Imigresen kerana membawa mata wang Britain dalam kuantiti yang banyak.
“Atas dasar percaya dan kasihan, mangsa telah membuat 27 transaksi pindahan wang dari 10 Okt hingga 5 Dis ke dua akaun berbeza yang diberikan suspek bagi tujuan bayaran untuk menolong ‘kekasihnya’ itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata mangsa yang menyedari telah ditipu selepas meragui bayaran tersebut kemudiannya menghubungi rakannya sebelum membuat laporan polis pada 8 malam, semalam.
Sementara itu, Zulkipli menasihati orang awam agar berhati-hati dengan sindiket penipuan ‘love scam’ serta mengingatkan mereka agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu daripada seseorang yang hanya dikenali di laman sosial.
Sebelum ini turut terjadi kes hampir serupa melibatkan seorang peniaga di Kota Bharu, Kelantan yang mengalami kerugian RM15,000 gara-gara ditipi oleh ‘polis palsu’ yang berselindung di sebalik Macau Scam.
Memetik laporan Sinar Harian pada 9 Disember baru-baru ini, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa yang berusia 49 tahun menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob, suspek yang menyamar dengan memperkenalkan diri sebagai anggota dari Balai Polis Kuala Krai itu menelefon mangsa kira-kira pukul 5 petang hari kejadian.
“Suspek menawarkan untuk menyelesaikan kes adik mangsa atas satu kesalahan dan mangsa bersetuju membayar sebanyak RM17, 000 selepas rundingan.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dan menunggu arahan seterusnya,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.
Tambahnya, sejurus mangsa tiba di IPD Kuala Krai sekitar 7.10 malam, mangsa diarahkan (melalui panggilan telefon) untuk pergi ke bank berdekatan untuk membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang diberikan.
Sumber: BERNAMA