Pendakwah dermawan, Ustaz Ebit Lew hari ini menziarahi petugas-petugas kesihatan di fasiliti kesihatan sementara MAEPS di Serdang, Selangor.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, beliau bergegas ke sana sebaik sahaja diminta ziarah bagi menyuntik semangat serta doa buat mereka di sana.
“Ramai petugas minta saya ziarah beri kata semangat dan doa. Terus saya ziarah ke MAEPS. Belanja 1,200 kotak KFC untuk frontliners di MAEPS untuk 1,200 petugas semuanya.
“Sayu dengar katil saja 10,000 disediakan untuk pesakit. Mereka diambil dari banyak hospital. Jadi mesti jauh ulang-alik. Terima kasih doktor, jururawat, pembantu perubatan..besar pengorbanan mereka,” katanya dalam hantaran tersebut pagi ini.
Jelasnya, walaupun sudah hampir setahun pandemik COVID-19 menguji negara, 2020 pula sudah berganti dengan 2021, namun beban dan kerja mereka juga sudah semakin bertambah.
“Sedih dan kasihan, pasti mereka teramat penat. Kerana Allah dan sifat tanggungjawab mereka terus berjuang. Mereka cari rezeki halal macam kita.
“Tapi mereka berkorban hari-hari penuh kawalan dengan pakai alat perlindungan diri (PPE). Duduk dalam kawad duri lagi. Makan tak sempat, ke tandas tak sempurna, 24 jam on-call, selalu kena bertugas luar, dipindahkan, solat terkejar-kejar. Terasa seperti dunia lain,” tambahnya.
Atas semangat yang diminta, Ustaz Ebit turut mencurahkan nasihat sebagai sokongan moral buat petugas di sana, di samping turut mendoakan mereka agar terus cekal dan tabah menggalas tanggungjawab sebagai benteng hadapan negara.
“Ya Allah kami tak dapat balas jasa frontliner negara kami. Balasilah mereka dengan kasih sayang-Mu, beri keberkatan, rezeki, kesihatan dan kekuatan buat semua petugas negara kami.
“Marilah kita bantu mudahkan dan selalu berdoa buat mereka,” katanya lagi.
Sumber: Ustaz Ebit Lew