Kerajaan Tetap Komited Dapatkan Semula Aset 1MDB

Nur Adnin

PUTRAJAYA, 20 Julai – Kerajaan akan terus komited dalam usaha mendapatkan semula aset 1MDB.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan proaktif kerajaan yang diketuai Jabatan Peguam Negara sedang mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pelbagai organisasi antarabangsa, termasuklah Goldman Sachs Group Inc.

“Minggu ini, perwakilan kanan Goldman Sachs Group Inc. telah hadir ke Malaysia untuk meneruskan perbincangan dan rundingan dengan kerajaan.

“Kerajaan berharap perbincangan ini akan membuahkan hasil dan membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, jelas Tengku Zafrul, perkara terpenting kini adalah komitmen penuh kerajaan dalam memastikan pemulangan aset tersebut ke negara ini.

“Kerajaan berusaha mengambil pelbagai tindakan dan langkah untuk memastikan nilai pemulihan yang adil dan wajar bagi rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

Sumber: Kementerian Kewangan