terengganu insentif qabil irfan
Kredit: Sinar Harian

Kerajaan Terengganu Beri Insentif Khas RM15,000 Untuk Qabil Irfan

Nurhanis

Kerajaan Terengganu Beri Insentif Khas RM15,000 Untuk Qabil Irfan

Insentif khas sebanyak RM15,000 telah diberikan Kerajaan Terengganu kepada pelumba negara, Qabil Irfan Azlan yang muncul juara dalam siri perlumbaan bertaraf dunia, FIM MiniGP di Valencia, Sepanyol bulan lepas.

Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ganjaran itu diberikan atas sebab menghargai kejayaannya yang mengharumkan nama negara dan Terengganu dalam perlumbaan tersebut.

“Kerajaan Negeri telah menyediakan motosikal yang bernilai RM40,000 untuk kemudahan pelumba cilik ini melakukan persediaan latihan ke pertandingan seterusnya.

“Insentif khas sebanyak RM15,000 buat adik Qabil Irfan juga diberikan sebagai tanda penghargaan atas kejayaan beliau baru-baru ini,” katanya dalam hantaran pada Khamis.

Memetik Sinar Harian, Ahmad Samsuri turut berkata beliau turut berharap insentif khas itu memberi inspirasi kepada golongan muda.

“Saya berharap kerja keras dan usaha berterusan dipamerkan oleh adik Qabil dan pelumba cilik lain menjadi inspirasi kepada anak-anak remaja dan rakyat Terengganu untuk terus mengejar impian dan cita-cita masing-masing.

“Anak remaja dan rakyat Terengganu perlu mempunyai minda kelas dunia dalam setiap perkara yang dilakukan. Jangan mengehadkan sekadar dalam kampung kita sahaja, atau sekadar dalam negeri kita sahaja.

“Sasar sehingga ke peringkat antarabangsa. Sebuah kejayaan besar bermula dari sekilas angan-angan dan cita-cita,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memberi galakan kepada pelumba anak negeri yang menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan negeri membantu pelumba-pelumba cilik ini untuk menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dengan membiayai yuran penyertaan mereka RM4,000 hingga RM5,000,” tambahnya.

Terdahulu, Qabil Irfan mencipta sensasi selepas memenangi tiga perlumbaan untuk muncul juara dunia dalam kelas 160cc di FIM MiniGP Siri Dunia di Litar Rocardo Tormo, Valencia 23 Nov lalu.

Sumber: Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar/Facebook