Gambar: BERNAMA

Kerajaan Setuju Tangguh Kenaikan Tol 2021, Tanggung Pampasan RM 2.25 Bilion

Nur Adnin

Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol untuk tahun ini bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember hujung tahun ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penangguhan itu dibuat ekoran keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Penangguhan berkenaan melibatkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan kadar tol mulai 1 Januari 2021 iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

“Selain itu terdapat lebuhraya dan plaza tol yang diteruskan penangguhan kenaikan kadar tol yang telah diberi penangguhan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

21 lebuhraya dan satu plaza tol (untuk semua jenis kelas kenderaan) yang terlibat penangguhan antaranya ialah Lebuhrata Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX), satu lebuhraya dan dua plaza tol (ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 1 dan Kelas 5 sahaja), satu lebuhraya dan tiga plaza tol (ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 5 sahaja) dan satu lebuhraya (ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 2, 3, 4 dan 5 sahaja).

Difahamkan, anggaran pampasan yang perlu ditanggung kerajaan susulan penangguhan itu adalah sebanyak RM2.25 bilion, selain rundingan menstrukturkan semula kadar tol bersama syarikat konsesi masih berjalan.

“Kabinet telah bersetuju yang ianya dimuktamadkan sebelum 2023.

“Anggaran pampasan ini adalah berdasarkan formula pengiraan pampasan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia,” tambahnya.

Sumber: KKR