Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada penghujung bulan ini akan turut melibatkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.
Menerusi kenyataan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sebentar tadi, pemberian vaksin itu adalah percuma dan akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia.
Pemberian vaksin secara percuma kepada golongan tersebut adalah selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk persekitaran selamat serta bebas COVID-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk Malaysia diberikan vaksin.
Selain itu, pemberian vaksin adalah langkah berperikemanusiaan dalam tempoh pandemik ini serta disebabkan oleh rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing iaitu sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan.
Faktor lain juga adalah kerana kos rawatan dan kuarantin pesakit COVID-19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kepada kluster pekerja asing serta mereka telah menjadi sebahagian komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.
Tidak cuma itu, pemberian itu juga mengambil kira layanan oleh sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara tersebut.
“Walaupun begitu, keutamaan pemberian vaksin COVID-19 adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu.
“Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak,” kata JKJAV dalam kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, pemberian vaksin secara percuma ini juga dibuat kerana akses bekalan vaksin COVID-19 yang diperolehi Malaysia adalah mencukupi serta melebihi jumlah warganegara Malaysia yang layak menerimanya.
Sumber: Khairy Jamaluddin