SHAH ALAM, 2 Okt — Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan beberapa langkah sebagai persediaan negeri ini menghadapi peningkatan kes baharu penularan wabak COVID-19 ketika ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah utama yang akan dilaksanakan adalah saringan bersasar secara percuma untuk rakyat negeri ini yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 Sept lepas.
“Memandangkan kemungkinan jangkitan baharu yang berkait dari Sabah, kerajaan negeri ingin membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan memudahkan pengesanan jangkitan COVID-19 dengan mengadakan saringan bersasar secara percuma kepada rakyat terlibat.
“Saringan itu boleh dilakukan di semua cawangan Klinik Selcare milik anak syarikat kerajaan negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd dengan membawa dokumen penerbangan pulang dari Sabah serta bukti pemastautin tetap (bil air dan elektrik) di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirudin berkata individu terlibat diminta hadir ke klinik berkenaan mulai Ahad ini dengan merujuk lokasi menerusi laman web https://selcareclinic.com/our-clinics/ dan bagi Daerah Kuala Selangor, kerajaan negeri turut menyediakan aturan khas untuk saringan di dewan orang ramai pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Pada masa sama, Amirudin mengumumkan bahawa waktu operasi restoran berkonsepkan bar di seluruh Selangor juga dihadkan operasinya sehingga pukul 11 malam sahaja manakala semua jenis kelab malam dan bar masih kekal dilarang beroperasi.
“Kerajaan negeri juga menggalakkan masyarakat untuk sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan tidak digalakkan menganjurkan sebarang himpunan atau persidangan melebihi had 250 orang pada satu-satu masa,” katanya.
Beliau berkata waktu operasi Bilik Gerakan COVID-19 Selangor juga akan dilanjutkan sehingga pukul 7 malam selain pihaknya juga menaik taraf aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) dengan menambah baik ciri peta, semakan premis dan semakan kendiri.
Sumber: BERNAMA