geran padanan lupus kenderaan
Gambar: Bernama

Kerajaan Sedia Geran Padanan Hingga RM4,000, Galak Lupus Kereta Lama 

Iqbal Yasir

Kerajaan Sedia Geran Padanan Hingga RM4,000, Galak Lupus Kereta Lama

KUALA LUMPUR — Kerajaan bersama syarikat pengeluar kenderaan nasional menyediakan geran padanan sehingga RM4,000 kepada pemilik yang melupuskan kereta berusia lebih 20 tahun dan membeli kenderaan nasional baharu.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah ini bagi mengurangkan risiko keselamatan di jalan raya termasuk merancakkan pasaran automotif tempatan.

“Kereta melebihi 20 tahun yang tidak ekonomik berisiko menjejaskan keselamatan.

“Kerajaan bersama syarikat pengeluar kenderaan nasional menyediakan geran padanan sehingga RM4,000 untuk menggalakkan pemilik melupus kenderaan lama dan membeli kenderaan nasional baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat di sini hari ini.

Anwar dalam pada itu menjelaskan kerajaan akan mengambil pendekatan lebih tegas dan melaksanakan pelbagai ikhtiar untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di negara ini.

Katanya, sebanyak RM2.5 bilion akan diperuntukkan untuk kerja-kerja selenggara Jalan Persekutuan termasuk menurap jalan berlubang, memasang lampu jalan 113 di kawasan berisiko serta mengganti perabot jalan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM700 juta dikhaskan kepada kontraktor G1-G4.

Selain itu, sebanyak RM5.6 bilion pemberian MARRIS akan disalurkan kepada negeri untuk menyelenggara jalan negeri di seluruh negara.

“RM30 juta diperuntukkan untuk memperkasa peranan Jurutera Daerah bagi mempercepat kerja-kerja pembaikan kecil di daerah termasuk aduan rakyat melalui aplikasi MYJalan.

“Manakala Lembaga Lebuhraya Malaysia akan memasang 3,000 unit lampu LED di beberapa lokasi tumpuan lebuh raya yang berisiko terjadi kemalangan.

“Bagi membantu penguatkuasaan had laju, Kerajaan bercadang, kos pembelian alat pengehad kelajuan untuk kenderaan berat diberi Elaun Modal Dipercepatkan untuk dituntut dalam tempoh satu tahun,” katanya.

Sumber: Teks Belanjawan 2026

BACA: Inti Pati Belanjawan 2026