Kerajaan peralihan Sudan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus syarikat gas dan petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Menurut laporan portal Turki, Daily Sabah, pengeluaran waran tersebut dilakukan susulan ketegangan antara Malaysia dan Sudan, setelah Sudan merampas aset tanah dan kompleks ibu pejabat milik Petronas di negara tersebut.
Susulan penggulingan Omar al-Bashir, kerajaan peralihan itu bertindak meluluskan undang-undang serta membentuk Jawatankuasa Pemerkasaan Penyingkiran, Anti-Rasuah dan Pengambilan Semula Wang (ERC). Jawatankuasa tersebut ditubuhkan untuk meneliti semula perjanjian serta mendapatkan semula aset-aset yang didakwa telah diperoleh secara tidak sah di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
Selain menyiasat latar belakang mantan presiden Sudan, jawatankuasa berkenaan turut menyasarkan pelabur-pelabur luar yang melabur di Sudan untuk diambil aset mereka.
Selain Petronas, terdapat juga pelabur asing lain yang turut menjadi sasaran kerajaan peralihan tersebut termasuk sebuah firma pembangunan dari China dan pemilik Grand Holiday Villa Ltd. dari Pakistan.
Sumber: Daily Sabah