Kerajaan negeri Perak akan menyediakan bekalan makanan untuk sahur kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat pada Ramadan ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata inisiatif itu bagi memudahkan para petugas mendapatkan makanan memandangkan restoran tidak beroperasi ketika waktu sahur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
”Agihan makanan ini akan disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, RELA dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Ramadan e-Village’ di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ramadan e-Village merupakan usaha empat sahabat yang mengendalikan Ipoh Central Kitchen (ICK) membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang Ramadan, serta memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai jenis juadah berbuka puasa secara dalam talian.
Koordinator ICK, Mohammad Iskandar Abdul Rahman berkata juadah berbuka daripada 35 pengusaha makanan akan ditempatkan di sebuah restoran iaitu Restoran Simpang Tiga di sini sebelum dihantar kepada pelanggan yang memesan secara dalam talian.
Katanya usaha itu merupakan lanjutan daripada projek ICK yang membekalkan makanan kepada petugas-petugas barisan hadapan di Perak sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas berikutan penularan wabak COVID-19.
Sumber: BERNAMA